Allaudeen Abdul Majid.

KUALA LUMPUR – Polis tidak menolak kemungkinan ada unsur kepentingan diri dan tidak berintegriti ketika menjalankan tugas sebagai motif lima anggota dan pegawai polis dikatakan bersubahat menculik orang baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya sudah selesai menjalankan siasatan dalam kes tersebut selepas kesemua anggota berkenaan ditahan baru-baru ini.

“Kita sudah jalankan siasatan dan siasatan sudah selesai, polis mendapati motif dipercayai mereka ada kepentingan diri dan kekurangan integriti.

“Kita juga sudah merakam percakapan semua pegawai dan anggota terbabit selepas direman sehari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis tetapi belum digantung kerja kerana belum dituduh di mahkamah.

“Kertas siasatan apabila dilengkapkan kelak akan dirujuk kepada Bukit Aman seterusnya akan menunggu keputusan daripada mereka,” katanya dalam sidang media selepas Program Back To School di Victoria Institution hari ini.

Tambah Allaudeen, suspek awam yang turut ditahan bersama angota terbabit untuk membantu siasatan kes juga dibebaskan dengan jaminan polis.

Terdahulu Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin dalam kenyataan mengesahkan tangkapan seramai enam orang suspek termasuk lima pegawai dan anggota polis di bawah IPD Cheras selepas disyaki bersubahat dalam melarikan orang awam dalam kejadian di Sri Petaling pada Selasa lalu.

Kata beliau, kesemua suspek berusia antara 27 hingga 42 tahun ditahan kelmarin dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 365/ 342/ 323 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast