Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Ceramah Mega Perpaduan Madani sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N36 DUN Pelangai di Simpang Pelangai, Bentong, Pahang. Foto MOHD ADZLAN, 02 OKTOBER 2023.

BENTONG – Perdana Menteri memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang mengambil menyorok bekalan beras putih tempatan (BPT).

Mereka yang bertindak demikian, pastinya akan diheret ke muka pengadilan, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau percaya ada segelintir pihak yang berbuat demikian demi mengaut keuntungan.

”Arahan jelas kepada pihak penguasa kalau kamu sorok, kamu jaga!

”Yang salah guna, sorok, simpan (beras). Saya maklumkan kepada saudara Mat Sabu, arahan jelas kepada badan penguat kuasa.

“Kalau ada yang berani buat perangai buruk dalam keadaan orang susah mencari beras, kamu sorok… kamu jaga.

“Kami akan cari kamu dan bawa ke mahkamah. Tengah orang susah kamu mahu cari untung,” tegas beliau ketika berucap dalam Ceramah Mega Perpaduan Madani N36 PRK DUN Pelangai di Daran Pelangai malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), dan Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara serta Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Pengerusi BN Pahang. – MalaysiaGazette