Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tengah) dalam sidang media selepas merasmikan Depot Imigresen Kemayan, Bera, hari ini.

BERA – Kerajaan bercadang untuk menambahbaik dan mempermudah proses permohonan visa kemasukan ke negara ini menerusi Pogram Liberalisasi Visa.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, ia selari dengan polisi semasa negara yang berusaha merancakkan kembali aktiviti ekonomi pasca pandemik Covid-19.

“Antara yang berpotensi menyumbang dalam merancakkan ekonomi dan menyumbang pendapatan negara ialah segmen pelancongan dan ia berkait rapat dengan visa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Depot Imigresen Kemayan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, antara tiga perkara yang akan dicadangkan kepada mesyuarat jemaah menteri esok termasuklah proses permohonan visa di pintu masuk negara sejurus ketibaan pelancong.

“Keduanya ialah multiple entry visa maknanya dia (pelancong) boleh masuk menerusi mana-mana pintu masuk negara dan bukan melalui negara asal mereka sahaja dan ini akan memberi manfaat buat 25 negara,” jelasnya.

Selain itu, katanya KDN juga berhasrat untuk memanjangkan tempoh visa transit jemaah umrah bagi umat Islam serantau iaitu dari Indonesia, Filipina dan Thailand yang memilih penerbangan untuk mengerjakan umrah dan transit di Malaysia.

Beliau berkata, berbanding hanya transit semalaman, tempoh masa yang diberikan buat jemaah umrah tersebut boleh dipanjangkan sehingga tujuh hari.

“Dengan kemudahan-kemudahan ini, kita yakin kedatangan pelancong itu akan lebih mudah. Ini sedang kita laksanakan dan Insya-Allah akan diumumkan Perdana Menteri dalam masa terdekat,” ulas Saifuddin lagi.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya masih perlu melaksanakan liberasi visa ini secara seimbang antara kepentingan keselamatan dan keperluan ekonomi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast