BANGKOK: Seorang remaja lelaki yang disyaki bersenjata telah ditahan pada Selasa susulan kejadian tembakan di pusat beli-belah Siam Paragon di Bangkok, menurut media Thai.
Semua laluan keluar masuk pusat beli-belah ini ditutup susulan kejadian tersebut.
Laporan awal menyebut empat maut dalam kejadian itu selepas cedera parah.
Polis Thailand turut mengesahkan beberapa individu cedera.
Suspek yang dikatakan baru berusia 14 tahun itu bersenjatakan pistol.
Rakaman video dari tempat kejadian menunjukkan pusat beli-belah yang biasanya sibuk kelihatan lengang kecuali kedengaran siren kecemasan.
Berita kejadian itu mula tular di media sosial apabila ada pengguna berkongsi rakaman orang ramai yang melarikan diri keluar dari pusat beli-belah berkenaan.
Beberapa orang juga mengatakan bahawa mereka mendengar bunyi tembakan. – Agensi