Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof melawat ke ruang pameran Petronas pada Majlis Persidangan Ke 4 Palm Biodiesel sawit pertama Petronas di Hotel Marriot Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 03 OKTOBER 2023.

PUTRAJAYA – Program Pencampuran Biodiesel Nasional oleh kerajaan bakal memberikan impak positif kepada alam sekitar pada masa depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, program itu mampu membantu merealisasikan ikrar Malaysia pada Persidangan Iklim 2015 (COP 21) untuk menepati hasrat mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030.

Malah kajian saintifik membuktikan penggunaan biodiesel berasaskan sawit mampu mengurangkan gas rumah hijau dan meningkatkan kualiti udara dengan cara mengurangkan polisiklik aromatic hidrokarbon (PAH) yang sering dikaitkan dengan pembakaran bahan api fosil.

“Ia mengurangkan kebergantungan kita terhadap tenaga fosil dengan menyediakan bahan alternatif yang mampan dan akhirnya dapat diterjemahkan kepada simpanan pertukaran asing yang mencukupi melalui penambahan penggantian diesel dengan biodiesel tempatan.

“Kementerian Perladangan dan Komoditi menganggap industri biodiesel sebahagian komponen yang penting dalam industri minyak kelapa sawit. Pertumbuhannya dapat merangsang permintaan tempatan untuk minyak sawit mentah (CPO) dan membolehkannya menentukan harga sendiri berbanding mengikut trend pasaran,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Biodiesel Sawit ke-4 di sini hari ini.

Persidangan Biodiesel Sawit kali keempat yang bertemakan Balancing Carbon Neutrality, Energy Security & Social Impact berlangsung selama dua hari bermula semalam menghimpunkan pemain industri sawit dari serata ASEAN dan negara-negara lain.

Dalam pada itu, Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi turut menyempurnakan pelancaran B100 (Biodiesel) oleh Petronas iaitu sejenis bahan api berteraskan biodiesel sawit khusus bagi penggunaan trak.

Ia salah satu kerjasama strategik antara KPK dan Petronas.

“Pencapaian ini menunjukkan semangat dedikasi Petronas terhadap agenda biodiesel Malaysia dan menandakan status mereka sebagai syarikat tenaga pertama negara dalam menyediakan inisiatif seperti ini terutamanya dalam kita meneroka dan memacu usaha mencapai penyelesaian bahan api rendah karbon.

“Baru-baru ini KPK dan Petronas turut mewujudkan pusat kutipan minyak masak terpakai (UCO) di beberapa stesen minyaknya yang terpilih dengan rancangan untuk memperluaskannya lagi ke serata negara.

“Ini sekali lagi menandakan komitmen berterusan Petronas dalam menyumbang ke arah agenda biodiesel negara. Kementerian sangat menggalakkan syarikat-syarikat multinasional lain untuk sama-sama menggunakan bahan api bio untuk mencapai sasaran ESG dan inisiatif neutral karbon masing-masing,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast