Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sri Aman merupakan satu-satunya lokasi di negara ini yang mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat ini susulan keadaan berjerebu pagi ini.

Laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) menunjukkan, kadar IPU di Sri Aman mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 121 pada pukul 10 pagi ini.

Sebanyak 61 kawasan lain berada pada tahap hijau iaitu bacaan IPU sederhana (bawah 100) manakala, hanya lima lokasi merekodkan bacaan IPU sihat (bawah 50).

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Orang ramai boleh melayari laman web http://apims.doe.gov.my untuk maklumat lanjut berhubung bacaan IPU semasa. – MalaysiaGazette