Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin (tengah) bergambar bersama para delegasi pada majlis perasmian Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pertanian dan Perhutanan (AMAF) Kali Ke-45 hari ini.

KUALA LUMPUR – Malaysia akan menyuarakan kepada negara pembekal beras utama ASEAN supaya memberikan keutamaan mengeksport makanan ruji itu kepada negara anggota pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Pertanian dan Perhutanan (AMAF) kali ke-45.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin berkata perkara itu akan dibangkitkan pada sesi perbincangan dua hala dengan negara-negara tersebut pada AMAF itu yang berlangsung di sini hari ini.

“Mungkin pada sesi bilateral kita akan bangkitkan seperti kita nak mengeratkan lagi hubungan antara dua negara supaya meletakkan keutamaan mengeksport beras kepada negara-negara ASEAN. Perbincangan mungkin dengan Thailand ataupun Vietnam,” katanya kepada pemberita selepas mewakili Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu merasmikan majlis tersebut di sini hari ini.

Mengulas mengenai Ops Bersepadu Beras Putih Tempatan yang dilancarkan semalam, Chan berkata pemeriksaan menyeluruh di semua peringkat rantaian industri padi dan beras akan bermula pada bila-bila masa.

Semalam Mohamad ketika melancarkan operasi tersebut berkata operasi itu akan melibatkan badan Kawalselia Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, polis, Jabatan Kastam serta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia.

Sementara itu, Chan dalam ucapan pada majlis berkenaan berkata kemampanan sektor pertanian dan perhutanan yang penting kepada penduduk ASEAN, berdepan ancaman daripada perubahan iklim, penangkapan ikan berlebihan, amalan pertanian tidak lestari serta pembuangan sisa makanan.

“Menjadi tanggungjawab kita untuk melindungi sektor ini, yang menjadi sumber makanan dan pendapatan.

“Visi kita bersama-sama untuk mengeratkan hubungan sesama kita dan dengan rakan kongsi luar. Dalam situasi yang tidak menentu ini, ASEAN yang bersatu padu mampu membantu menyerap dan menangani kejutan luaran akibat peralihan dasar atau konflik serantau, bagi memastikan kestabilan dan kemakmuran rakyat,” katanya.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast