SELAYANG – Perbicaraan dua kes menghasut melibatkan Menteri Besar Kedah, Datuk Muhammad Sanusi Md Nor ditetapkan selama 12 hari bermula Januari dan Februari 2024.
Hakim Mahkamah Sesyen, Nor Rajiah Mat Zin menetapkan tarikh itu selepas peguam Muhammad Sanusi, Awang Armadajaya Awang Mahmud memohon tarikh perbicaraan untuk kes ditetapkan pada tahun depan.
Mahkamah kemudiannya menetapkan perbicaraan bermula 18 dan 19 Januari serta 2, 5,8,9,12,13,15,16 dan 23 Februari 2024.
“Tempoh tarikh perbicaraan ini cukup kerana melebihi 10 hari iaitu 12 hari dan seramai 12 saksi akan dipanggil sepanjang perbicaraan itu,” kata Awang Armadajaya pada sidang media di sini hari ini.
Sebelum itu, Nor Rajiah Mat Zin turut memberitahu, dua pertuduhan itu akan dibicarakan secara bersama di mahkamah tersebut.
Mengikut kedua-dua pertuduhan pindaan yang dibacakan semula dalam prosiding hari ini, Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu didakwa telah menyebut perkataan menghasut.
Kesalahan itu dilakukan di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara – Kampung Bendahara di sini pukul 11 malam pada 11 Julai lalu.
Bagi kedua-dua pertuduhan pindaan itu, Muhammad Sanusi didakwa mengikut perenggan 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu pada prosiding awal, Hakim Mahkamah Sesyen lain, Osman Affendi Mohd. Shalleh membenarkan kes sama yang dihadapi Muhammad Sanusi di mahkamahnya digabungkan untuk dibicarakan bersama di hadapan Nor Rajiah.
Osman Affendi memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan berhubung perkara itu dan ia tidak dibantah pasukan pembelaan.
“Ini kerana, ia melibatkan kejadian teks dan saksi yang sama maka wajarlah kes ini dibicarakan secara bersama,” katanya.
Dalam prosiding hari ini, pendakwaan diwakili Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Datuk Masri Mohd. Daud, Abdul Malik Ayob, Nor Azizah Aling dan Nadia Mohd. Izhar.
Sementara Muhammad Sanusi diwakili peguam-peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud dan Wan Rohimi Wan Daud.
Pada 13 Julai lalu, media melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan terhadap Menteri Besar Kedah berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh isu 3R (agama, kaum dan raja) dalam ceramah politiknya baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan berkenaan kes itu dijangka mengambil masa selama tujuh hari.
Menurut Razarudin, siasatan berkaitan 3R berkenaan dilakukan di bawah Kanun Keseksaan, Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Terdahulu, media turut melaporkan terdapat video tular yang memaparkan Muhammad Sanusi ketika menyampaikan politik didakwa memperlekeh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung pelantikan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor.
Sebelum itu, Sultan Selangor berkenan menzahirkan penghargaan kepada ahli-ahli Dewan Diraja Selangor yang bertindak membuat satu laporan polis berhubung isu menghina institusi Diraja Selangor.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Muhamad Munir Bani berkata, laporan dibuat pada 14 Julai lalu itu adalah susulan kenyataan dikeluarkan oleh Menteri Besar Kedah dalam satu ceramahnya.
Katanya, kenyataan itu dianggap menghina dan mempertikaikan kewibawaan institusi Diraja Selangor berhubung pemilihan jawatan Datuk Menteri Besar Selangor. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Boleh lah Sanuc ckp pd hakim nanti Kepala Bapak Hang di mahkamah