HULU LANGAT – Sebanyak 75 lori tangki air akan digerakkan ke semua kawasan terjejas sepanjang dua hari kerja-kerja penambahbaikan, penyelenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air Sungai Langat Selasa depan, 10 Oktober 2023.
Pemangku Ketua Pegawai Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Abas Abdullah berkata, 10 daripadanya akan digerakkan ke 49 premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis, dan upacara pengebumian.
“Bagi yang lain akan bermula pada esoknya (11 Oktober) dan 12 Oktober,” katanya ketika sidang media.
Beliau berkata demikian ketika sidang media pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan, penyelenggaraan dan penggantian aset di LRA Sungai Langat yang akan dimulakan pada Selasa depan sepanjang dua hari.
Terdahulu, sebanyak 338 kawasan di Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat dijangka mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula jam 9 pagi.
Bekalan air dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 12 tengah hari, 12 Oktober.
Sehubungan itu, Abas berharap pengguna dapat membuat persediaan awal untuk menyimpan bekalan air secukupnya sepanjang kerja-kerja berkenaan dilaksanakan.
“Kita sudah maklumkan 14 hari awal, kita harap pengguna buat persediaan awal untuk memastikan kehidupan seharian tidak terganggu pada hari berkenaan,” katanya lagi.
Tambah beliau, Air Selangor akan sentiasa memberi hebahan dari semasa ke semasa tentang perkembangan kerja-kerja penyelenggaraan yang dijalankan kelak.
“Pengguna boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual ini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi kami
seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300,” tambahnya. -MalaysiaGazette