Akmal Saleh menyaksikan pelepasan benih Ikan dan udang galah di perairan Sungai Melaka, Kampung Gangsa, Durian Tunggal, Alor Gajah, Melaka hari ini.

ALOR GAJAH – Kerajaan dicadang mengenakan hukuman lebih tegas termasuk penjara dan sebatan terhadap kartel beras yang terbukti merampas subsidi rakyat di negara ini.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, ini kerana hukuman sedia ada berbentuk kompaun dan denda meskipun mencecah RM100,000 mampu dilunaskan mereka.

“Hari ini kalau kita tengok hukuman paling tinggi adalah kompaun yang mana memang kartel-kartel ini mampu bayar.

“Tapi kalau kita beri hukuman contohnya penjara dan sebatan kepada sesiapa sahaja yang mengkhianati subsidi negara termasuk menipu dan menekan rakyat, tentu mereka tidak berani melakukannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Pelepasan Benih Ikan dan Udang Galah di perairan Sungai Melaka, Kampung Gangsa, Durian Tunggal di sini hari ini.

Beliau yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri berkata, hukuman itu juga akan memberi pengajaran kepada kartel-kartel lain agar tidak mengambil kesempatan di sebalik kesempitan rakyat.

Jelasnya, pelbagai usaha telah dilakukan kerajaan negeri termasuklah penambahan sebanyak 500 tan metrik beras minggu lalu bagi memastikan rakyat tidak terputus bekalan makanan ruji itu.

“Cuma saya minta rakyat di negeri ini agar tidak beli beras dalam kuantiti banyak kerana 10 kilogram itu cukup untuk menampung dalam tempoh seminggu,” katanya. – MalaysiaGazette