Anthony Loke

BENTONG – Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menafikan dakwaan bahawa kaum Cina terutama di sekitar Telemong dan Kampung Baru di sini tidak akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Sabtu ini.

Beliau berkata jentera DAP sudah bekerja keras untuk memastikan pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka sekali gus menjamin kemenangan Barisan Nasional (BN).

Telemong merupakan kawasan di DUN Pelangai yang mempunyai majoriti penduduk bukan Melayu dengan menempatkan kira-kira 4,000 pengundi kaum Cina dan India.

“Pada Sabtu ini kita akan pastikan undi yang kita ada, kita akan alihkan kepada BN, melalui formula itu saya yakin akan membantu BN menang dengan majoriti selesa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Pesta Tang Lung Telemong di sini malam tadi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas, penyandang DUN itu, Datuk Seri Johari Harun yang mewakili BN menang dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat yang memperoleh 3,260 undi, manakala calon Pakatan Harapan (PH) Ahmed Wafiuddin Shamsuri mendapat 2,031 undi dan calon Pejuang Isa Ahmad meraih 65 undi.

Loke berkata untuk memastikan formula berkenaan berjaya, beliau sejak awal lagi telah berpesan kepada DAP Pahang untuk berkempen bersungguh-sungguh memberi sokongan kepada BN baik dari aspek moral, sumber dan tenaga manusia.

Katanya formula peralihan undi kaum Cina dan penyokong DAP kepada BN itu telah pun terbukti berjaya membantu kemenangan BN seperti apa yang berlaku pada Pilihan Raya DUN Tioman.

Pada PRU15, pengundian bagi DUN Tioman tidak dapat berlangsung pada hari pengundian 19 Nov 2022 berikutan kematian calon PN Md Yunus Ramli pada awal pagi sama, menyebabkan ia ditetapkan semula pada 7 Dis tahun sama.

Dalam pada itu, Loke mengakui cabaran terbesar ketika ini ialah untuk memastikan pengundi di DUN Pelangai yang tidak menetap di sini, pulang menunaikan tanggungjawab mereka pada Sabtu ini.

— BERNAMA