Dr. Zaliha Mustafa

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 akan dibentangkan untuk bacaan kedua pada 10 Oktober 2023 minggu hadapan.

Ini adalah susulan keputusanMesyuarat Jemaah Menteri pada 4 Oktober 2023.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, pembentangan bacaan kedua RUU di Parlimen adalah suatu bentuk komitmen berterusan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kerajaan Madani dalam memastikan kesihatan dan keselamatan rakyat Malaysia dilindungi daripada bahaya produk merokok.

RUU ini telah dibentangkan untuk bacaan pertama pada 12 Jun 2023 dan dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan.

Menurutnya, penelitian telah dibuat oleh ahli-ahli JKPK bagi memantapkan RUU ini supaya RUU ini dapat dibincangkan, diteliti dan disokong oleh kesemua pihak (bipartisan).

“Pihak JKPK telah mengadakan beberapa siri mesyuarat dan sesi libat urus bersama semua pihak-pihak berkepentingan termasuklah Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Setelah kesemua mesyuarat dan sesi libat urus ini, terdapat beberapa syor yang telah dikemukakan oleh JKPK dan KKM menerima baik semua syor-syor yang dicadangkan tersebut.

Oleh itu, KKM ingin menyeru seluruh lapisan masyarakat termasuk ahli-ahli Parlimen, individu, ibu bapa, guru dan tokoh-tokoh masyarakat bersama-sama memainkan peranan dan menyokong usaha KKM dalam membentangkan RUU ini dengan menyuarakan sokongan, tambah Zaliha. – MalaysiaGazette