Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid bercakap pada media mengenai kejayaan menangkap kes komersial dan kes mencuri oleh pasukan polis di IPD Sentul, Kl. Foto QURRATU AINI, 5 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Satu sindiket mencuri dan meleraikan enjin kenderaan sebelum menjualnya kepada bengkel kenderaan di sekitar Lembah Klang berjaya dilumpuhkan polis.

Seorang warga tempatan dan tiga lelaki warga asing yang dipercayai terlibat dalam aktiviti curi kenderaan ituĀ  diberkas polis dalam Ops Lejang pada 18 September lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, seorang lagi warga tempatan yang merupakan dalang utama kini sedang giat diburu.

Katanya, sepasukan polis dari D4, Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Sentul bertindak atas maklumat risikan telah mengempur sebuah bengkel kenderaan di Klang, Selangor sebelum berjaya menahan seorang lelaki yang merupakan pemilik bengkel itu dan tiga lelaki warga Myanmar kerana disyaki terlibat dalam aktiviti itu.

“Hasil pemeriksaan lanjut polis berjaya menemui dan merampas empat rangka kenderaan dan 15 bongkah enjin kereta pelbagai jenama antaranya Mercedes Benz, Honda dan Myvi bernilai RM83,000.

“Siasatan awal polis mendapati modus operandi sindiket itu adalah dalang utama warga tempatan bernama Liew Chin Kang berusia 42 tahun yang masih bebas bertindak menguruskan kecurian kenderaan itu sebelum menjual bahagian bongkah enjin yang dileraikan kepada bengkel yang berminat dengan harga di antara RM5,000 hingga RM7,000 bergantung kepada model enjin.

“Manakala bengkel itu akan mengambil alat ganti kenderaan tersebut dan memasang kepada kenderaan pelanggannya yang ingin dibaik pulih,” katanya dalam sidang media di IPD Sentul hari ini.

Barang yang berjaya dirampas oleh pihak polis di IPD Sentul. Foto QURRATU AINI, 5 OKTOBER 2023.

Turut hadir ke sidang media berkenaan Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari.

Allaudeen juga tidak menolak kemungkinan sindiket itu menggunakan kunci pendua untuk mencuri dan melarikan kenderaan itu sebelum disembunyikan di kawasan terpencil sebelum dilerai dan diedarkan untuk jualan.

Dalam perkara sama, beliau juga menegaskanĀ  semakan mendapati kesemua suspek yang ditahan itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan saringan air kencing itu juga negatif dadah.

“Kesemua suspek kini masih dalam tahanan reman dan berada di IPD Serdang untuk membantu siasatan sehingga 5 Oktober 2023.

“Susulan kejayaan rampasan dan tangkapan itu, polis Sentul yakin telah berjaya menyelesaikan 15 kes kecurian yang dilaporkan iaitu lima kes di Sentul, dua kes di kawasan Wangsa Maju, tiga kes di Cheras, satu kes di Brickfields dan empat kes di kawasan Serdang,” katanya.-MalaysiaGazette