Universiti Malaya

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) julung kalinya akan menjalinkan kerjasama bersama Universiti Tsinghua, salah sebuah universiti terbaik dunia, yang dinobatkan berada pada kedudukan ke-12 dunia dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings 2024 yang diumumkan baru-baru ini.

Kerjasama ini menandakan detik penting dalam komitmen UM memupuk persekitaran pendidikan dan penyelidikan berstatus dan berimpak global.

UM dalam kenyataannya berkata, kerjasama strategik ini telah pun dimulakan melalui syarahan khas yang disampaikan oleh Presiden Universiti Tsinghua, Profesor Dr. Wang Xiqin di UM baru-baru ini.

Antara lainnya, Profesor Wang menekankan kepentingan perkongsian ilmu dan pengalaman secara silang budaya dan kolaboratif, bagi kebaikan kedua-dua belah pihak.

Menurut Naib Canselor UM, Profesor Datuk Ir. Dr. Mohd. Hamdi Abd. Shukor, UM akan memulakan misi untuk menyemai semangat keusahawanan di kalangan pelajar bersama Universiti Tsinghua.

“Kerjasama ini akan memupuk penubuhan pelbagai inisiatif keusahawanan yang berdaya maju, dengan menyediakan platform bersesuaian kepada mahasiswa untuk mengubah idea inovatif mereka kepada entiti perniagaan yang mampu berdikari dan menyumbang semula kepada ekonomi negara.

“Melalui kerjasama ini juga, sebuah program latihan industri komprehensif yang dapat merapatkan jurang antara akademia dan industri, akan diperkenalkan. Latihan industri khusus ini akan memperkasakan mahasiswa dengan pengalaman dunia sebenar yang berharga, meningkatkan kebolehpasaran mereka, dan seterusnya membentuk mereka untuk menjadi pemimpin masa hadapan.

“Selain itu, kita juga akan menggandakan promosi program mobiliti sebagai salah satu usaha untuk perkongsian ilmu akademik dan budaya di antara kedua-dua negara. Inisiatif-inisiatif sebegini membolehkan pelajar dari kedua-dua institusi untuk memperolehi perspektif global, meluaskan ruang pengetahuan dan pemikiran, serta memupuk pemahaman kepelbagaian budaya,” katanya.

Tambah beliau, selaras dengan komitmen UM terhadap pendidikan dan penyediaan perkhidmatan perubatan sejak awal penubuhannya, kursus perubatan di UM juga dapat diperkukuhkan melalui kerjasama ini.

Dengan perkongsian amalan terbaik, penemuan penyelidikan dan sumber dengan Universiti Tsinghua, UM yakin untuk terus kekal sebagai pemimpin penyedia pendidikan perubatan di negara ini.

“Antaranya, kami teruja untuk meneroka program pengajian perubatan lapan tahun di Universiti Tsinghua, yang menggabungkan pengajian perubatan konvensional dengan pelbagai cabang bidang lain.

“Pendekatan inovatif ini tentunya akan memperkasakan bakal graduan perubatan untuk bersedia menghadapi cabaran dunia masa hadapan yang rencam dan rumit,” tambah Hamdi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast