KUALA LUMPUR – Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng yang bertanggungjawab menggelapkan berbilion ringgit dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan diserahkan kepada Malaysia untuk berdepan dengan pertuduhan.

Agensi media melaporkan, Roger yang sedang menjalani hukuman penjara di Amerika Syarikat (AS) diperintahkan oleh Ketua Hakim Daerah, Margo Brodie untuk menyerah diri kepada Perkhidmatan Marshal AS sebelum diserahkan kepada Malaysia.

Bagaimanapun pendakwaan mahu Roger kembali ke AS untuk menjalani hukuman penjara dan ia dipersetujui peguamnya.

Roger dijatuhkan hukuman selepas juri mendapati dia bersalah kerana membantu bekas bos Goldman, Tim Leissner mencuri wang 1MDB selain melakukan penggubahan wang haram menggunakan dana tersebut.

Hukuman terhadap Leissner yang tertangguh dijadualkan pada 19 Mac 2024. 

Pada Oktober 2020, Goldman bersetuju membayar AS$2.9 bilion (RM12.98 bilion) dan unitnya di Malaysia mengaku bersalah atas pertuduhan rasuah.

Roger ditahan di Malaysia pada November 2018 dan bersetuju untuk diekstradisi ke AS.

Pada 7 September lalu, Brodie menangguhkan tarikh serah diri Roger ke penjara dari 6 September kepada 6 Oktober tahun ini.

Sehari sebelum itu, bank pusat Singapura mengeluarkan perintah larangan seumur hidup (PO) terhadap Roger yang juga dikenali sebagai Ng Chong Hwa.

Kes Roger berpunca daripada kira-kira AS$6.5 bilion (RM29.09 bilion) apabila Goldman Sachs membantu penjualan bon 1MDB pada 2012 dan 2013.

Pendakwa raya AS berkata, pegawai, bank dan sekutu mereka menggelapkan kira-kira AS$4.5 bilion (RM20.14 bilion) daripada jumlah itu.

Roger merupakan warganegara Malaysia dan bekas ketua perbankan pelaburan Goldman Sachs di Malaysia. – Agensi