BENTONG – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah bersiap sedia untuk menghadapi musim Monsun Timur Laut pada penghujung tahun ini.
Jelasnya menterinya, Dr Zaliha Mustafa, ada klinik dalam mod bersedia untuk digerakkan sekiranya berlaku monsun tersebut.
“Kalau betul-betul banjir kita sudah ada stanby klinik untuk mengambil alih tugasan daripada klinik tersebut. Secara keseluruhannya persediaan banjir dan rasanya kita lebih bersedia dan persediaan itu ada pelbagai.
“Kita bekerjasama dengan NADMA sebagai agensi pusat dan di peringkat negeri kita buat persediaan dari sudut petugas, peralatan, ubat-ubatan dan kenderaan.
“Persediaan kita dari sudut memberikan perkhidmatan rawatan dan psiko-sosial dan psikologinya kita menyediakan perkhidmatan tersebut,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan rasmi ke Klinik Kesihatan Chemomoi petang tadi.
Dalam pada itu, KKM turut mengesan sejumlah 552 fasiliti yang mudah dilanda banjir.
“552 fasiliti yang telah kita kenalpasti kemungkinan berisiko untuk dilanda banjir tapi kita menyediakan 453 fasiliti alternatif,” katanya lagi.
Turut ditanya samada KKM telah membekukan permohonan cuti bagi petugasnya namun Dr Zaliha enggan menjawab. – MalaysiaGazette