Antara pengemis warga asing yang ditahan dalam operasi khas mensasarkan mereka oleh JIM di BUkit Bintang Kuala Lumpur 1 Oktober lalu. Ihsan JIM.

PUTRAJAYA – Pura-pura sakit dan pengsan sebelum cuba meloloskan diri daripada ditangkap penguat kuasa.

Itu taktik sebahagian pengemis warga asing bagi memperdaya penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu operasi di Bukit Bintang baru-baru ini.

Malah ada warga asing dikesan sanggup menyamar sebagai wanita muslim dengan memakai niqab selain menggunakan bayi serta kanak-kanak untuk meraih simpati bagi mendapatkan wang terutama kepada pelancong asing.

Bagaimanapun, segala taktik itu gagal memperdaya pihak JIM dalam operasi pada 1 Oktober lalu.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi itu dilaksanakan berikutan aduan awam dan pemantauan pihaknya atas kegiatan mengemis melibatkan warga asing di sekitar Bukit Bintang.

Katanya, dalam operasi yang dimulakan 6 petang itu, seramai 18 orang pegawai JIM pelbagai pangkat daripada Bahagian Penguatkuasa Ibu Pejabat Imigresen, Putrajaya terlibat dan pihaknya berjaya menahan seramai lapan pengemis warga asing.

“Kesemua tangkapan itu terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita China, tiga wanita Pakistan, seorang wanita Jordan, seorang kanak-kanak perempuan warga Pakistan dan seorang kanak-kanak lelaki Jordan berusia lingkungan lapan bulan hingga 78 tahun.

“Semasa operasi itu, salah seorang warga asing yang diperiksa telah membuat provokasi dengan berpura-pura mengalami kesakitan dan pengsan serta cuba untuk melarikan diri apabila pegawai kami menghampirinya.

Wanita berniqab bersama bayi dan kanak-kanak antara lapan pengemis warga asing yang berjaya ditahan di sekitar Bukit Bintang dalam operasi khas Jabatan Imigresen pada 1 Oktober lalu. Ihsan JIM

“Selain daripada itu, seorang wanita China dikesan menyamar sebagai seorang wanita Muslim dengan memakai niqab untuk menutup identiti sebenarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, tambah Ruslin lagi, ada juga wanita warga asing lain yang ditahan turut memakai niqab dan menggunakan bayi bagi meraih simpati orang ramai untuk mendapatkan wang.

Menurutnya, antara kesalahan yang telah dikenal pasti pihaknya adalah mereka melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) iaitu tidak memiliki dokumen pengenalan dan tinggal lebih masa di negara ini.

“Kesemua mereka yang ditahan  kini ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan dan tindakan lanjut berlunaskan undang-undang yang diperuntukkan di dalam negara ini.

“Jabatan ini juga mengingatkan kepada semua pelawat warganegara asing yang berada di negara ini supaya mematuhi undang-undang dan peraturan sedia ada serta tidak melakukan kesalahan yang boleh menyebabkan diri ditahan pihak berkuasa.

“Pada masa yang sama, orang ramai juga dipohon supaya terus menyalurkan maklumat tentang kegiatan warga asing yang menyalahi undang-undang negara supaya tindakan yang pantas dan tegas dapat diambil,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Assalammualaikum.
    Tahniah kepada mereka yang berterusan manjalankan pemantawan merata tempat di Malaysia ini. Memandangkan perkara mengemis ini mencemar imej negara kita di.mata wartawan luar Dan ia amat serious jika kita semua tidak ambil Berat. Jika lihat di muka pintu bank2 terdapat activiti2 mengemis dan perkara ini amat mendukacitakan mencemar imej Malaysia di mata pelancung asing

Comments are closed.