BENTONG – Kehadiran Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa di hari terakhir kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai bukan menyalahgunakan jentera kerajaan.
Dr Zaliha berkata, adalah menjadi tugas beliau sebagai portfolio kesihatan untuk melihat serta meninjau peralatan kesihatan yang akan digunakan kepada rakyat khususnya di Pelangai.
“Tidak (salah guna jentera kerajaan) sebab bila saya turun untuk apa-apa program pun saya akan ambil peluang untuk turun dan melihat sendiri fasiliti-fasiliti kerajaan, itu memang tugas saya.
“Jadi, kita datang ambil peluang itu, selepas habis dari kerja kemudian baru kita buat kerja-kerja politik dan sebagainya.
“Tetapi yang ini kalau kita tengok mana ada yang mengguna (salahguna jentera, aset pegwai awam pada PRK), tidak ada pun,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan ke Klinik Kesihatan Chemomoi petang tadi.
Dr Zaliha berkata demikian mengulas pertanyaan berhubung kenyataan Perikatan Nasional (PN) yang mahu SPR memantau parti politik yang menyalahgunakan jentera dan aset kerajaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.
Semalam, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan pemantauan bagi pemberian insentif sama ada oleh kerajaan negeri mahupun kerajaan Persekutuan kepada rakyat sepanjang kempen berlangsung juga perlu diawasi.
Katanya, selain penggunaan jentera kerajaan serta kehadiran pegawai-pegawai agensi kerajaan negeri, pemberian insentif ibarat ‘durian runtuh’ kepada rakyat yang akan membuang undi nanti juga perlu dipantau.
Ditanya sama ada ini adalah lawatan rasmi pertama Zaliha ke Bentong, beliau berkata; “Ya, kita datang memang khas untuk kerja, saya sebagai menteri dan sebagai Yong Syefura sebagai ahli Parlimen.”
Awal hari ini, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, pihaknya tidak menerima sebarang aduan rasmi berhubung dakwaan penyalahgunaan jentera dan aset kerajaan pada PRK DUN Pelangai setakat ini.
Malah Abdul Ghani menggesa mana-mana pihak yang mendakwa berlaku salah laku dalam kempen perlu membuat aduan rasmi kepada SPR dengan segera. – MalaysiaGazette