Antara pengundi yang beratur untuk melaksanakan tanggungjawap pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N36 DUN Pelangai di Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Chemomoi, Bentong, Pahang. Foto MOHD ADZLAN, 07 OKTOBER 2023.

BENTONG – Belum pun pintu pagar Pusat Mengundi di SMK Chemomoi dibuka, orang ramai sudah beratur panjang seawal jam 7 pagi untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi hari ini pada Pilihan Raya Kecik Dewan Undangan Negeri Pelangai pagi ini.

Pada kebiasaannya, pada awal pagi golongan warga emas akan memenuhi pusat-pusat mengundi tetapi berlainan pula pada PRK Pelangai.

Ia kerana, tinjauan Malaysia Gazette mendapati pengundi muda turut sama beratur untuk mengundi awal.

Bagi Mohd Khairul Anuar Hasan, 25, berkata, dia keluar awal untuk mengelakkan kesesakan di pusat mengundi, selain runsing keadaan cuaca.

“Saya nak elak bersesak-sesak. Lagipun datang awal sebab takut hujan petang. Cuaca ni sukar diramal,” katanya yang gembira melihat anak-anak muda lain turut memeriahkan proses awal mengundi pagi ini.

Mohd Hishamudin Hassan, 22, pula berkata, pengalaman lalu yang terpaksa menanti selama hampir tiga jam untuk mengundi membuatkannya keluar awal hari ini.

“Masa tu PRU15, terlalu ramai dan saluran lima sesak. Saya terpaksa tunggu dua, tiga jam.

“Tak mahu berulang lagi, jadi saya datang awal,” katanya.

Hishamudin berkata, jumlah anak muda yang mengundi di DUN Pelangai semakin ramai sejak Undi 18 dilaksanakan.

Farini Erini Nadirah Abdul Manaf (kanan) bersama adiknya, Farini Elisa yang keluar mengundi awal di SMK Chemomoi, pagi tadi.

Bagi Farini Erini Nadirah Abdul Manaf pula telah membuat persiapan awal untuk balik untuk balik ke kampung sejak kelmarin bersama adiknya.

Memandangkan kali pertama mengundi, Farini Erini, 24, cukup teruja untuk melunaskan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Saya balik sini awal, dua hari lalu untuk mengundi. Saya teruja kerana ini kali pertama,” ujarnya.

Manakala adiknya, Farini Elisa, 22, seronok kerana dapat keluar awal untuk mengundi.

“Lebih baik keluar awal, mudahkan proses pengundian hari ini,” tambahnya.

Hari ini sejumlah 16,456 pemilih akan membuang undi bagi PRK Pelangai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast