Allaudeen Abdul Majid.

KUALA LUMPUR – Seramai 30 individu ditahan setakat ini bagi membantu siasatan kes rusuhan melibatkan perebutan lori tunda ke atas kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Kampung Malaysia Tambahan, dekat Sungai Besi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata,  jumlah tersebut berdasarkan tangkapan terbaharu membabitkan lapan suspek, selain seramai 22 individu yang ditahan sebelum ini.

Katanya semua yang ditahan masih direman.

“Kita masih memburu beberapa lagi suspek berkaitan kes ini,” katanya ketika ditemui di Program Pembersihan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Limau, Pantai Dalam.

Beliau turut memberi jaminan akan menangkap semua yang terbabit dalam rusuhan berkenaan.

“Saya beri amaran keras kepada mereka yang terbabit bahawa pihak polis tidak akan bertolak ansur, kita akan cari sampai dapat, jangan cabar kita,” tambahnya.

Sebagai rekod, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin dilaporkan berkata pihaknya menerima laporan daripada orang awam mengenai satu kes rusuhan menggunakan senjata membabitkan beberapa orang suspek pada Ahad lalu.

Hasil siasatan awal mendapati kejadian ini berpunca daripada satu kes kemalangan kereta dan pergaduhan dua pihak untuk menunda kereta itu.

Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.-MalaysiaGazette