Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meluangkan masa menyantuni Norhayati Ismail sekeluarga di rumahnya di Kampung Rantau Panjang, Rompin hari ini

ROMPIN –  “Saya rasa terharu sangat sebab Tuanku sanggup datang rumah saya.”

Begitulah luahan Norhayati Ismail, 57, yang menerima kunjungan Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di kediamannya di Kampung Rantau Panjang, di sini, hari ini.

Baginda yang diiringi Tengku Panglima Raja, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah mengunjungi Norhayati selepas mengetahui rumah wanita itu dilanda ribut pada 2 Oktober lalu.

YDPA berkenan meluangkan masa kira-kira 30 minit menyantuni Norhayati sekeluarga dan menyerahkan sumbangan berbentuk wang tunai bagi meringankan beban ditanggung mereka sekeluarga.

Sementara itu, Norhayati yang bekerja sebagai tukang cuci di Kolej Komuniti Rompin berkata, kejadian itu merupakan kali pertama berlaku sejak 30 tahun dia menetap di situ.

Norhayati Ismail

“Saya balik tu saya tak masuk dalam rumah terus, bila tengok reda sikit saya baru masuk rumah. Sebab saya memikirkan anak lelaki saya ada di rumah.

“Ketika kejadian, suami saya berada di bandar dan anak saya seorang lagi bekerja di Kedaik. Saya memang rasa takut masa itu,” katanya.

Menurut Norhayati, ketika kejadian, anak lelakinya terlelap di dalam bilik selepas makan ubat kerana sakit dan langsung tidak menyedari sebahagian atap di bahagian ruang tamu dan beranda telah diterbangkan angin.

Bagaimanapun, dia berasa lega setelah mengetahui anaknya tidak mengalami kecederaan tetapi mula panik apabila mendapati rumahnya dipenuhi air akibat hujan.

“Masa tu saya terus telefon Tok Pat dan maklumkan rumah saya dilanda ribut. Tok Penghulu dan Tokpat pun datang tolong cabut fius sebelum pihak TNB datang putuskan bekalan elektrik, sebab masa tu rumah habis banjir,” ujarnya.

Norhayati berkata, beliau mengalami kerugian kira-kira RM10,000 akibat kejadian itu, membabitkan barangan elektrik dan kerosakan.

Namun, wanita itu bersyukur kerana menerima bantuan sumbangan berbentuk makanan asas, wang tunai dan dana untuk membaiki rumahnya daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK), Majlis Ugama Islam (MUIP) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sementara itu, dalam kunjungan itu, Al-Sultan Abdullah turut berkenan menyampaikan sumbangan MUIP kepada 143 orang yang terdiri daripada asnaf, warga emas, ibu tunggal dan saudara baru di Dewan Serbaguna Leban Chondong. – MalaysiaGazette