Foto: FB Malaysian Cub Prix

JOHOR BAHRU – Pelumba CKJ Racing Team, Md Izzat Zaidi Md Salehan kritikal selepas terlibat dalam kemalangan ketika sesi ‘Super-Pole’ pada perlumbaan Cub Prix Malaysia di Litar Bandar Medini, dekat Iskandar Puteri, tengah hari semalam.

Pengurus Pasukan CKJ Racing, Amer Saad yang mengesahkan kejadian tersebut berkata, pelumba berusia 27 tahun itu, patah tulang rusuk kiri dan mengalami pendarahan di bahagian paru-paru.

Beliau berkata, pelumba berasal dari Selangor itu, kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) selepas selesai menjalani pembedahan pada 4 pagi tadi.

“Md Izzat masih bergantung 100 peratus pada mesin bantuan pernafasan dan menurut doktor mereka akan tunggu dalam masa 48 jam untuk melihat sama ada masih terdapat pendarahan di paru-paru,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.

Menurutnya, keluarga Md Izzat termasuk isteri beliau kini berada di HSA dan menunggu sama ada  dibenarkan atau tidak untuk melawat pelumba berkenaan pada 4.30 petang ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP Rahmat Ariffin mengesahkan tidak menerima sebarang laporan berkenaan kemalangan tersebut.

Hari ini tular satu video berdurasi 26 saat di Facebook, dipercayai video kemalangan membabitkan pelumba tersebut yang menunjukkan jentera Yamaha dipacu sewaktu sesi Super-Pole CP150 melanggar penghadang jalan dan terbabas ke pagar keselamatan yang diletakkan di tepi litar.

Turut tular, hantaran dipercayai daripada isteri Md Izzat di Instagram milik ‘‘elyshanorizal” yang memohon orang ramai agar mendoakan suaminya yang selesai menjalani pembedahan dan bergantung 100 peratus pada mesin bantuan pernafasan.

Turut dimuat naik sekeping gambar dipercayai Md Izzat yang dipercayai baru selesai pembedahan. – Bernama