Pelangai
Penyokong BN dan PN berkempen sempena PRK DUN Pelangai di Felda Chemomoi, Bentong, Pahang, Jumaat lalu.

KUALA LUMPUR – Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai semalam sekali lagi menunjukkan Barisan Nasional (BN) kehilangan sebahagian sokongan pengundi Melayu sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Penganalisis politik, Lim Sian See berkata, sokongan mereka telah beralih kepada Perikatan Nasional (PN).

Menurut beliau, PN menang di dua daripada tiga kawasan Felda di Pelangai sekali gus bermaksud kawasan Felda bukan lagi deposit tetap bagi BN.

“BN bergantung kepada sokongan bukan Melayu (melalui Pakatan Harapan (PH) dan juga MCA yang masih agak kuat di Bentong) untuk menang PRK kali ini.

“Gabungan dengan PH telah berjaya untuk mengekalkan kemenangan BN. Dianggarkan lebih 99 peratus undi bukan Melayu (yang merupakan 25 peratus daripada keseluruhan pengundi) berpihak kepada BN,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Calon BN, Datuk Amizar Abu Adam beroleh 7,324 undi mengatasi calon PN, Kasim Samat yang mendapat 4,375 undi manakala calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli hilang wang deposit apabila menerima hanya 47 undi.

Walau bagaimanapun, Sian See memberitahu, majoriti 2,949 undi yang dicatatkan BN adalah lebih rendah berbanding majoriti 4,048 yang dicapai ketika BN bertanding secara bersendirian melawan PH dan BN pada PRU15.

“Jika undi bagi PH dan BN bagi PRU15 digabungkan, majoriti bagi BN jatuh dari 6,014 ke 2,949,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

Comments are closed.