Seorang wanita warga Vietnam ditemukan maut dipercayai terjatuh dari tingkat 12 kondominium di Jalan Syed Abdul Aziz, Banda Hilir, Melaka, tengah malam tadi.

MELAKA – Seorang wanita warga Vietnam ditemukan maut dipercayai terjatuh dari tingkat 12 kondominium di Jalan Syed Abdul Aziz, Banda Hilir, di sini tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mayat Nguyen Thi Hong Loan, 26, ditemui orang awam dalam keadaan tertiarap di dalam longkang kira-kira pukul 12.15 tengah malam

Menurutnya, rakan serumah si mati wanita Vietnam berusia 28 tahun memaklumkan, sebelum kejadian mereka sempat makan malam bersama kira-kira pukul 10.30 malam.

“Selepas makan, saksi mendapati rakannya itu tiada di ruang tamu rumah dan menyangka dia sudah tidur di dalam bilik sebelum tiba-tiba dikejutkan dengan siren ambulans di bawah kondominium.

“Siasatan lanjut mendapati, si mati pernah mengadu dia berasa sangat tertekan kerana bapanya di kampung selalu menelefonnya meminta duit sebanyak RM20,000 untuk tujuan yang tidak dapat dipastikan,” katanya.

Tambahnya, si mati juga dikatakan kerap gelisah dan kemurungan kerana tidak mempunyai duit setelah beberapa bulan tidak berkerja semasa tinggal di Seremban.

“Siasatan forensik di lokasi kejadian mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian ini dan mayat di bawa ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.

“Kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya – MalaysiaGazette