KUALA LUMPUR – Seorang pekerja warga Bangladesh maut akibat tersepit dalam mesin pengisar di sebuah kilang pengeluaran baja pertanian di kawasan Perindustrian Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang, Selangor hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, bilik gerakan operasi menerima panggilan berhubung insiden itu pada jam lebih kurang 11.27 pagi tadi.
“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang bergegas ke lokasi untuk tindakan lanjut.
“Pemeriksaan di premis itu mendapati seorang mangsa warga Bangladesh bernama Shiful Sorder tersepit di dalam mesin pengisar kilang memproses baja pertanian tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, anggota bomba terlibat dalam kerja-kerja mengeluarkan mangsa tersepit dalam mesin tersebut.
Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan yang turut berada di tempat kejadian.
Mayattelah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan dan tindakan lanjut. – MalaysiaGazette