KUALA TERENGGANU – Seorang anggota polis ditahan reman selama lima hari berhubung dakwaan meminta dan menerima wang suapan berjumlah RM2,000 daripada dua lelaki.
Perintah reman tersebut yang dikeluarkan Majistret Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri ke atas anggota berpangkat konstabel itu bermula hari ini hingga Jumaat ini.
Menurut sumber, lelaki berusia 30-an tersebut telah ditangkap di sebuah daerah di negeri ini tengah hari semalam.
Sumber memaklumkan pada bulan lepas, polis menyerbu sebuah rumah dan menahan dua lelaki disyaki terlibat dengan penggunaan bahan terlarang.
Ekoran itu, anggota polis tersebut membawa kedua-dua lelaki itu untuk ujian air kencing dan kemudian meminta serta menerima wang RM2,000 daripada mereka bagi tujuan tidak mengambil tindakan menahan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda daripada nilai suapan (mana-mana yang lebih tinggi) atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. _BERNAMA