KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan keadaan jerebu dalam negara tidak akan berpanjangan memandangkan tiupan angin yang kerap berubah.
Walaubagaimanapun Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim , Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, operasi pembenihan awan akan dilakukan sekiranya Indeks Pencemaran Udara (IPU) semakin merosot iaitu mencecah 151 hingga 200 melebihi 24 jam.
Beliau berkata, jabatan tersebut menyediakan ramalan sehingga lima hari pergerakan jerebu rentas sempadan menggunakan Model Ramalan Pergerakan Jerebu iaitu Hybrid Single-Particle Lagrangian Integrated Trajectory (HYSPLIT) dan Copernicus Atmospheric Monitoring Service (CAMS).
“Output ramalan pergerakan jerebu juga dimaklumkan kepada orang awam melalui laman web MET Malaysia (http://bencana.met.gov.my),” katanya sewaktu sesi penerangan berkenaan fenomena jerebu dalam negara, di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu katanya lagi, MeTMalaysia telah melaksanakan penambahbaikan ke atas sistem Fire Danger Rating System (FDRS) iaitu memberi ramalan tujuh hari lebih awal bagi memantau potensi berlakunya kebakaran terbuka.
“Semua negara ASEAN telah memberikan sokongan untuk menggunakan sistem ini bagi membolehkan langkah-langkah pencegahan awal dan persediaan rapi menangani jerebu merentas sempadan dilaksanakan, tambah beliau.
Menurut Nik Nazmi, kementeriannya telah memulakan langkah-langkah kesiapsiagaan sejak awal tahun demi memastikan dapat memberikan perkhidmatan yang cekap kepada rakyat bagi menghadapi fenomena jerebu.
“Kementerian juga sentiasa menjalinkan kerjasama erat di peringkat Persekutuan, negeri, daerah dan juga komuniti melalui pelaksanaan pelbagai tindakan dan strategi termasuk memastikan penyampaian maklumat yang tepat, memastikan pemantauan kualiti udara dan cuaca secara berterusan serta pencegahan kebakaran terbuka,” katanya. MalaysiaGazette