KUALA LUMPUR – Sebanyak 25 pasukan mengesahkan penyertaan dalam kejohanan hoki Piala Tun Abdul Razak 2023 yang dijadual berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil dan Stadium Hoki Konfederasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Lembah Pantai bermula esok hingga 21 Okt ini.

Daripada jumlah itu, 13 pasukan akan berentap memburu kejuaraan dalam kategori lelaki sementara 12 pasukan bersaing dalam kategori wanita yang akan dibahagikan kepada kumpulan A dan B.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh berkata kejohanan tahun ini tidak disertai pasukan Sarawak dan Kelantan bagi kedua-dua kategori manakala Kedah hanya menghantar pasukan lelaki.

“… pasukan Sabah pula tidak menghantar skuad lelaki. Kemungkinan negeri-negeri tersebut tidak menghantar wakil kerana tidak cukup persiapan serta pemain dan ada juga (pasukan) yang sedang membuat persiapan bagi perlawanan lain akan datang,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata terdapat 22 pemain daripada pasukan kebangsaan lelaki, 28 pemain daripada skuad junior lelaki dan 23 pemain kebangsaan wanita tidak dibenarkan menyertai kejohanan musim ini kerana tidak mendapat pelepasan daripada skuad negara.

Kategori lelaki Piala Tun Abdul Razak 2023 menyaksikan penyertaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Perak, Johor, Terengganu, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pahang, Melaka, Perlis, Pulau Pinang, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Selangor dan Kedah.

Bagi saingan wanita yang bertanding ialah Selangor, Pulau Pinang, ATM, Negeri Sembilan, Sabah, Perak, Melaka, Pahang, Terengganu, Kuala Lumpur, PDRM dan Johor.

Sementara itu, pengendali pasukan lelaki Perak, K. Rajan mengakui beban berat dapat dirasai apabila kehilangan beberapa tonggak utama daripada pemain kebangsaan yang tidak dapat diturunkan pada permainan edisi ini untuk mempertahankan gelaran buat kali keempat.

“Gandingan pemain baharu dan berpengalaman diharap dapat perkuatkan permainan iaitu terdapat empat pemain baharu yang akan diturunkan pada edisi ini. Memang ada tekanan sebab sudah tiga tahun kita menang namun semasa sesi latihan saya nampak mereka ini boleh jadi juara,” katanya yang mula mengemudi pasukan itu bulan lepas.

Sementara itu, jurulatih pasukan wanita Selangor Ikmal Abdul Jabar berkata peluang masih terbuka buat anak buahnya meraih gelaran buat kali kedua berturut-turut apabila saingan dilihat sama rata.

“Kita datang sebagai juara bertahan pada edisi ini namun saya tidak mahu letak tekanan kepada pemain jadi kita pergi ikut perlawanan,” katanya.

Skuad hoki lelaki Perak sebelum ini melakar hatrik dalam kejohanan hoki Piala Tun Abdul Razak 2022, selepas membelasah Pahang 5-1, manakala Selangor muncul juara bagi kategori wanita setelah menewaskan Melaka 3-2. – BERNAMA