SPRM ventilator
Muhamad Akmal Salleh

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) perlu mencontohi ketegasan dan efisiennya Exco Melaka, Dr Akmal Saleh mengatasi krisis bekalan beras tempatan baru-baru ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Petaling Jaya, A’zlan Abu Bakar berkata, MAFS sewajarnya mencari alternatif termasuk mendapatkan kuota tambahan beras tempatan seperti mana dilakukan Dr Akmal.

“Kenapa Dr. Akmal boleh dapatkan kuota tambahan di Melaka dengan guna status Exco kerajaan negeri sahaja dan gempur banyak kilang untuk pastikan tiada ketirisan beras di negerinya?

“Jika benar ada rombakan Kabinet dalam masa terdekat, harap Perdana Menteri timbang semula fungsi peranan menteri dan timbalannya.

“Bagi peluang kepada mereka betul-betul boleh dan mampu buat kerja,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Pada 4 April lalu, Dr Akmal yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO mengempur operasi kilang di Melaka untuk melihat sendiri situasi bekalan beras putih tempatan (BPT) di pasaran.

Menerusi video berdurasi tiga minit 24 saat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu mengancam menarik lesen pengilang yang enggan mengeluarkan beras tempatan dengan paket dan harga ditetapkan kerajaan.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Melaka menegaskan, margin keuntungan kecil tidak boleh dijadikan alasan oleh pengilang untuk tidak mengeluarkan beras tempatan.

Sebelum itu juga, Dr Akmal mencadangkan supaya kerajaan mengehadkan penjualan beras putih tempatan kepada rakyat asing berikutan kenaikan harga yang didorong oleh kekurangan bekalan dalam pasaran.

Dalam pada itu, A’zlan memohon pertimbangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO, Datuk SeriĀ  Ahmad Zahid Hamidi membawa nama Dr Akmal untuk mengganggotai Jemaah Kabinet jika berlaku rombakan dalam masa terdekat.

“Rejuvenasi Kabinet perlu dilakukan segera dan pemimpin muda sebegini wajib diketengahkan sebagai pelapis negara. Orang muda yang berpandangan, matlamat jelas serta rekod prestasi cemerlang bukti beliau banyak membantu rakyat tanpa mengira golongan dan mengikut saluran yang betul.

“Dr Akmal menjalankan tugasnya tanpa protokol yang ketat supaya memudahkan rakyat,” katanya.

Katanya lagi, Kerajaan Perpaduan perlu memberi laluan kepada pemimpin muda dalam Kabinet untuk membantu mengatasi krisis makanan yang kian meruncing.

“Orang muda tengah kuat kerja, bagi dia kerja. Esok kalau dia tak boleh, rombak balik. Apa yang penting, dia sudah buktikan di Melaka.

“Bagi dia peluang untuk terus perjuangakan isu penting ini dan kembalikan kehormatan Kabinet yang semakin tercalar hari demi hari, selagi isu beras ini tidak diselesaikan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette