anwar ibrahim
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – China, Thailand dan Indonesia bersetuju untuk menggunakan mata wang ringgit dalam urusan perdagangan.

Perkara tersebut disahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, cara tersebut secara langsung tidak akan menjejaskan kesan terhadap penyusutan nilai ringgit yang sedang berlaku.

“Beberapa langkah diambil Bank Negara umpamanya menetapkan eksport dalam nilai ringgit. Ini saya bincang dengan negara China untuk menetapkan eksport dalam nilai ringgit.

“Kemudian saya bincang dengan China dan ASEAN di Jakarta untuk minta kita gunakan nilai tempatan untuk berdagang, China sambut baik, Thailand pun sambut baik,” katanya ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat pada hari ini.

Menurut Anwar, dianggarkan sebanyak 28 peratus urusan pelaburan besar Malaysia dengan antara negara-negara berkenaan yang menggunakan nilai ringgit.

Jelas beliau, kedudukan ekonomi tempatan akan membantu memperkukuhkan nilai mata wang ringgit.

Anwar juga optimis keadaan kedudukan nilai mata wang ringgit semakin baik pada hujung tahun ini.

“Semalam pertemuan saya dengan Gabenor Bank Negara beliau menganggap akhir tahun ini ke arah perkembangan yang lebih meyakinkan berdasarkan angka-angka dan data baru yang kita terima dan kita harapkan dengan penjelasan dasar dan ekonomi dan transisi yang mendapat tarikan baru dapat membantu menarik pelaburan dan memperkukuh kedudukan ringgit,” tambahnya.

Terdahulu beliau berkata, setakat 6 Oktober, nilai ringgit menyusut 6.5 peratus berbanding Dollar Amerika.

Namun ujar Anwar, kedudukan semasa itu tidak separah Jepun.

“Namun tidak separah Yen, Jepun yang menyusut 10.8 peratus. Thailand sama dengan Malaysia walaupun kita lihat umpamanya Korea lebih kurang sama tapi Indonesia lebih baik, lebih tegas dalam membatalkan subsidi dan mengambil beberapa langkah menyusahkan sementara,” katanya lagi.- MalaysiaGazette