KUALA LUMPUR – Fenomena El Nino diramalkan mula melanda negara November ini dan seterusnya menyebabkan cuaca panas dan kering mulai Mac tahun depan.
Pengarah Kanan Pusat Instrumentasi Meteorologi dan Sains Atmosfera Jabatan Meteorologi (METMalaysia), Ambun Dindang berkata, kawasan timur Sabah mula menunjukkan pengurangan jumlah purata hujan antara 20 hingga 40 peratus bulan depan dan ia dijangka berterusan sehingga Disember.
Menurut beliau, seluruh Sabah akan mengalami pengurangan jumlah purata hujan antara 20 hingga 40 peratus mulai Januari depan manakala Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak akan menerima jumlah hujan yang rendah.
“Mulai Mac tahun depan pula, anomali hujan di bawah purata berlaku di Sabah, utara Sarawak, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, utara Perak, Kelantan dan utara Terengganu.
“Cuaca panas dan kering dijangka bermula pada Mac 2024 yang berpotensi berlakunya gelombang haba,” katanya ketika menjadi ahli panel Forum Iklim Kebangsaan 2023 bertema ‘Waspada El Nino Hadapi Monsun Timur Laut’ yang diadakan secara dalam talian, hari ini.
Forum anjuran METMalaysia itu dikendalikan Timbalan Ketua Pengarah (Strategik & Teknikal) METMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip selaku moderator dan disertai dua lagi ahli panel iaitu Pengarah Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Dr Norlida Mohd Dom serta Pengarah Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Nazaruddin Sharaai.
Sementara itu, Norlida menasihatkan orang ramai supaya peka dengan hebahan amaran banjir melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang disalurkan melalui syarikat-syarikat telekomunikasi ke telefon mudah alih masing-masing.
Menurut beliau, perkhidmatan itu disediakan menerusi kerjasama awam dan swasta (PPP) yang melibatkan JPS, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), NADMA, Kempen Amaran dan Ramalan Informasi Banjir (KARIB) serta Celcom, Digi, Maxis, U Mobile dan Webe.
“Secara keseluruhan, maklumat akan disampaikan kepada lebih 4.3 juta pengguna di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sarawak,” jelasnya.
Dalam pada itu, Nazaruddin memaklumkan, Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 yang disalurkan NADMA kepada ketua isi rumah hanya boleh dituntut sekiranya mangsa banjir berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Selain itu, beliau berkata, bagi mangsa yang meninggal dunia akibat banjir, warisnya layak menuntut BWI berjumlah RM10,000.
“BWI hanya boleh dituntut sekali sahaja semasa musim monsun timur laut manakala jika di luar musim tersebut, sekali dalam tempoh tiga bulan.
“Tuntutan bleh dibuat melalui pejabat daerah yang akan menyelaraskan pemberian bantuan kepada mangsa-mangsa yang terkesan akibat banjir,” katanya. – MalaysiaGazette
















