lori membawa muatan tepung terbalik di atas lebuhraya PLus berhampiran Bangi dalam kejadian petang tadi.Ihsan Bomba Selangor

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tempatan cedera ringan manakala dua lagi terselamat selepas sebuah lori yang membawa muatan tepung terlibat dalam kemalangan jalan raya hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, kejadian itu berlaku di Kilometer 300.0 di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Bangi.

Katanya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan memaklumkan mengenai kejadian tersebut pada jam lebih kurang 4.40 petang tadi.

“Bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi telah digerakkan ke lokasi kemalangan itu.

“Sejurus tiba di lokasi, pemeriksaan lanjut anggota mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori jenis Hino seberat satu tan yang membawa muatan tepung dipercayai telah hilang kawalan dan terbalik di atas lebuh raya itu,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Tambah beliau, akibat insiden itu tiga orang lelaki tempatan termasuk pemandu lori tersebut berjaya keluar dari lori tersebut sebelum pasukan bomba tiba ke lokasi itu selain barang bungkusan tepung turut bertaburan di atas jalan.

“Mangsa tercedera itu telah dikejarkan ke Hospital Kajang untuk rawatan selanjutnya oleh pasukan EMRS Bomba,” ujarnya. – MalaysiaGazette