KUANTAN – Polis telah merakam keterangan daripada empat orang saksi bagi membantu siasatan kes 3 R (kaum, agama dan institusi diraja) membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Shahril Azman Abd Halim.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, sehingga ke hari ini, kes tersebut masih dalam siasatan, katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan pemberita merujuk kepada laporan polis dibuat Pegawai Khas Ahli Parlimen Bentong, Ahmed Wafiuddin Shamsuri pada 13 September lalu terhadap ADUN berkenaan.
Laporan polis itu dibuat susulan Shahril Azman didakwa memainkan sentimen 3R di akaun TikTok beliau.
Ahmed Wafiuddin mendakwa Shahril Azman membuat kenyataan yang menyentuh hak bumiputera selain turut menyentuh nama Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan DAP.
Shahril Azman yang merupakan ADUN daripada Pas juga didakwa berkempen di Felda Sungai Kemahal yang terletak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai sebelum hari penamaan calon yang ditetapkan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan berkenaan.
“Kes yang dimaksudkan itu masih dalam siasatan. Kita mendapatkan maklumat daripada agensi luar dan kita sedang menunggu lagi (maklumbalas),” katanya. – MalaysiaGazette
















