Yahaya Othman menunjukkan gambar suspek yang ditahan dalam serbuan pada 5 Oktober lalu di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dicekup bersama 19 individu lain dalam serbuan di sebuah premis pusat panggilan dipercayai menjalankan aktiviti penipuan pelaburan tidak wujud secara dalam talian di Genting Highlands baru-baru ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, kegiatan kumpulan sindiket itu berjaya dibongkar hasil pemantauan Bahagian Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong pada 5 Oktober lalu.

“Kita menahan 20 individu terdiri daripada 15 lelaki warga tempatan dan lima lagi warga asing yang menggunakan pas lawatan sosial.

“Kesemua suspek berumur dalam lingkungan 17 hingga 31 tahun ditangkap dipercayai terlibat dengan sindiket penipuan pelaburan tidak wujud dalam talian yang menyasarkan mangsa dari Singapura,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.

Menurut Yahaya, polis turut merampas 19 unit komputer riba, 69 unit telefon bimbit, masing-masing satu keping pasport dan kad akses beserta kunci dalam serbuan yang sama.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati modus operandi sindiket itu adalah menyasarkan mangsa secara rawak menggunakan aplikasi cari jodoh Coffee Meets Bagel Dating sejak bulan Ogos lalu.

“Setelah berkenalan, suspek akan menawarkan pelaburan tidak wujud untuk memperdaya mangsa. Seterusnya mangsa diminta untuk memuat naik aplikasi pelaburan di pautan diberikan dan untuk urusan selanjutnya ia diuruskan oleh sindiket lain,” jelasnya lagi.

Tambah Yahaya, semakan rekod jenayah lampau mendapati ada antara suspek itu memiliki beberapa rekod jenayah dalam kes penipuan dan dadah.

Kesemua suspek direman sehingga 12 Oktober mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast