Zulkarnain Mahdar

KUALA LUMPUR – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) sedang mempertimbangkan untuk menyaman pemilik laman Facebook bernama Edisi Panas Sabah sekurang-kurangnya RM10 juta kerana didakwa memfitnah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar mendakwa, Hajiji difitnah kononnya bersekongkol dengan seorang pelabur dari Sarawak dengan meluluskan tanah seluas 2,418 hektar di Pulau Balambang, Kudat, Sabah.

“Kalau nilai Ketua Menteri sudah tentu lebih dari RM10 juta. Sekarang ini pun saya tengok Perdana Menteri pun dia pun menyaman juga kepada mereka yang fitnah.

“Saya tak nampak Ketua Menteri Sabah ini akan berdiam diri, sebagai aktivis politik, kita anti kepada fitnah, sebab itu kita tampil hari ini buat laporan polis.

“Kita harus ingat, kita akan melepaskan politik ini kepada generasi muda, kalau mereka keadaan cara berpolitik begini, apa akan jadi kepada negeri dan negara,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau bersama peguamnya membuat laporan polis terhadap pemilik laman Facebook bernama Edisi Panas Sabah di Balai Polis Sri Petaling, di sini, hari ini.

Ahad lalu, laman Facebook bernama Edisi Panas Sabah memuat naik hantaran artikel mengenai pembongkaran skandal salah guna kuasa Hajiji didakwa telah meluluskan enam permohonan tanah yang melibatkan keseluruhan 2,393 ekar atau 968.4 hektar.

Artikel itu mendakwa, Hajiji mempunyai hubungan sangat rapat dengan seorang usahawan dari Sarawak yang bernama Datuk Seri Thomas Hah Tiing Siu.

Menurut artikel itu, Hajiji didakwa memberi kelulusan kepada Thomas pada Januari tahun ini berhubung projek perlombongan pasir silika di atas tanah hak milik Yayasan Sabah seluas 2,418 hektar di Pulau Balambangan, Kudat.

Menurut hantaran itu lagi, di sekeliling tanah Yayasan Sabah tersebut, terdapat tanah kerajaan yang agak luas dan dipenuhi pasir silika serta masih belum mempunyai status pemilikan.

Thomas didakwa telah bersekongkol dengan Hajiji menggunakan sebuah syarikat yang bernama Dayang Aurora Sdn. Bhd. untuk memohon dua tanah di atas pulau tersebut dengan keluasan 30 ekar (LA.20-22050499) dan 50 ekar (LA.20-22050500) atas alasan tujuan pertanian bernilai ekonomi.

Dalam pada itu, Zulkarnain juga berkata, beliau difahamkan pejabat Ketua Menteri Sabah mengesan dan menjejaki pemilik laman Facebook terbabit.

“Panel peguam pun sedang bersedia untuk menyaman pemilik laman Facebook bernama Edisi Panas Sabah.

“Artikel ini siapa yang muat naik? Siapa pemilik laman Facebook ini. Notis tuntutan akan dihantar kepada orang ini.

“Kita pun sedang minta bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan pihak polis menjejaki siapa.

“Insya-Allah kita akan tahu siap orang itu, sedikit masa lagi. Tak boleh lari lagi, nak lari ke mana, ini Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette