KUALA LUMPUR – Perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan penyelewengan dana RM2.3 bilion membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersambung lagi dengan sesi soal balas pasukan pembelaan dengan saksi ke-47 hari ini.
Saksi berkenaan seorang penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM), Adam Ariff Mohd Roslan hari ini tidak mahu memberi sebarang komen apabila Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bertanya kemungkinan besar Najib tidak tahu sumber dana masuk ke dalam akaun peribadinya.
Hujah Muhammad Shafee, BNM sendiri mengambil masa lebih dua tahun untuk mengesan dan memperincikan aliran transaksi wang masuk ke dalam akaun Najib daripada sumber luar negara, bagaimana pula seseorang bergelar perdana menteri ketika itu tahu dari mana dana itu masuk.
Beliau mencadangkan kepada Adam Ariff bahawa Najib dalam pembelaannya sebelum ini sudah berkali-kali memberitahu dana itu datangnya daripada Raja Arab Saudi, Allahyarham Raja Abdullah Abdulaziz bukan daripada syarikat didakwa milik Low Taek Jho atau Jho Low.
“Anda tahu bekas gabenor, Tan Sri Zeti (Aziz) sendiri sebelum dalam keterangannya memberitahu pihaknya telah ambil masa hampir tiga tahun siapakah sumber yang masukkan dana ke dalam akaun peribadi Najib. Anda pula ambil dua tahun untuk jejak aliran wang.
“Jadi adakah munasabah Najib sebagai perdana menteri ketika itu sebenarnya tidak tahu sumber yang masukkan dana itu? Pada Najib, wang yang masuk ke akaun peribadi itu adalah daripada Raja Arab. Pastinya Najib tidak akan tahu, BNM sendiri tidak tahu,” katanya di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah hari ini.
Bagaimanapun ketika soalan itu diajukan kepada Adam Ariff, penganalisis itu enggan menjawabnya.
“Saya tidak mahu komen,” katanya ringkas.
Untuk makluman, sebelum ini, Zeti sendiri ketika memberikan keterangan dalam prosiding 1MDB yang BNM mengambil masa sehingga hampir tujuh tahun sebelum pihaknya mendapat tahu AS$700 juta milik 1MDB masuk ke syarikat Good Star Ltd (syarikat Jho Low).
Muhammad Shafee akan kembali menyoal balas Adam Ariff esok dan kemungkinan dapat menghabiskan sesi soal balas dengan saksi itu yang sudah memberikan keterangan selama lapan hari.
Prosiding bersambung di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Adam Ariff memberikan keterangan terhadap pertuduhan dihadapi Najib berkaitan penyewelengan dana 1MDB sebanyak RM2.3 bilion di Mahkamah Tinggi.
Ketika ini, Najib berdepan perbicaraan melibatkan 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang berkait dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didepositkan dalam akaun AmBank miliknya, antara Februari 2011 dan Disember 2014. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Penganalisis akui tak dapat sahkan wang dalam akaun Najib dari 1MDB