Ahmad Fauzan Abdul Latiff memeluk bapanya, Abdul Latiff Bandi selepas dibebas dan dilepaskan atas pertuduhan pengubahan wang haram.

JOHOR BAHRU – Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Johor Bahru yang membebaskan dan melepaskan anak kepada bekas Exco kerajaan negeri, Datuk Abd Latiff Bandi daripada pertuduhan penggubahan wang haram berjumlah RM35.7 juta pada 2017.

Keputusan itu dibuat Hakim Noorhayati Mat terhadap Ahmad Fauzan Hatim Abd Latiff, 31, dan Amir Shariffuddin Abd Raub, 50, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes sehingga melampau keraguan yang munasabah.

Beliau berpuas hati dengan keputusan yang dibuat Hakim Mahkamah Sesyen pada tahun lalu dan melihat tidak berlaku sebarang kekhilafan.

“Maka, setelah meneliti keterangan Amir Shariffuddin dan Ahmad Fauzan dalam pembelaan mereka, saya dapati anggapan di bawah Seksyen 50(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah berjaya dipatahkan oleh Amir Shariffuddin.

“Ahmad Fauzan juga telah mematahkan inferen di bawah Seksyen 4(3) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001 dan tiada kekhilafan bagi pihak Hakim Mahkamah Sesyen dalam menerima penjelasan mereka.

“Berdasarkan alasan dan pendapat saya seperti di atas, saya berpendapat, tiada kekhilafan dari segi undang-undang dilakukan oleh Hakim Mahkamah Sesyen dalam membuat keputusan pelepasan ini, maka dengan ini rayuan perayu ditolak dan perintah pembebasan dan pelepasan Amir Shariffuddin dan Ahmad Fauzan oleh Hakim Mahkamah Sesyen di kekalkan,” katanya dalam keputusan penghakimannya.

Amir Shariffuddin menghadapi 33 pertuduhan rasuah mengikut Seksyen 28 (1) (C) Akta SPRM 2009 yang dibaca bersama Seksyen 16(a)(B) akta sama.

Ahmad Fauzan dan Amir Shariffuddin masing-masing turut berdepan empat pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(a) AMLA 2001.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin; Ahmad Akram Gharib; Mahadi Abdul Jumaat; Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Zender Lim Wai Keong.

Sementara Amir Shariffuddin dan Ahmad Fauzan diwakili Datuk Salehudin Saidin, Khairulazwad Sariman, Zulaikha Aini Mohd Khair Johari, Siti Sarah Khalil, Tuan Abd Rahim Ali, Ahmad Nur Awalluddin Zakaria dan Syahmi Nawawi.

Pada 7 Ogos tahun lalu, Hakim Mahkamah Sesyen telah melepaskan dan membebaskan Abd Latif, Amir Syariffuddin dan Ahmad Fauzan pada akhir kes pembelaan.

Rayuan telah difailkan terhadap ketiga-tiga tertuduh namun pada 20 Oktober lalu, rayuan terhadap Abd Latif ditarik balik dan pendakwaan  meneruskan rayuan terhadap Amir Syariffuddin dan Ahmad Fauzan sahaja.

Pada 14 Jun 2017, Abd Latif, Amir Shariffuddin dan Ahmad Fauzan didakwa atas pertuduhan rasuah dan pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram berjumlah RM35.7 juta, bagaimanapun kesemua mereka  mengaku tidak bersalah.

Pada 21 April 2019, Mahkamah Sesyen Johor Bahru membuat keputusan melepas dan membebaskan ketiga-tiga mereka selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Bagaimanapun, pada 7 November 2021, Mahkamah Tinggi Johor Bahru mengarahkan bekas Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri itu dengan dua yang lain terbabit untuk membela diri selepas Hakim Datuk Abu Bakar Katar memutuskan Mahkamah Sesyen terkhilaf dalam keputusannya itu. -MalaysiaGazette