Jenazah Allahyarham Ariffin Mat Dris disembahyangkan oleh saudara-mara dan penduduk Kampung Tanjung Buluh, Kerambit, Lipis malam tadi

LIPIS – Bekas anggota Pasukan Kawalan Tempatan Persekutuan Tanah Melayu (home guard) tertua, Ariffin Mat Deris, menghembuskan nafas terakhir pada petang semalam pada usia 114 tahun

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, Ariffin atau dikenali dengan panggilan Tokchek yang meninggal dunia akibat sakit tua dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Buluh Kerambit Lipis pada jam 10 malam.

Menurutnya, bekas home guard itu yang banyak berjasa ketika zaman darurat pernah dimasukkan ke Hospital Lipis pada Jun lalu.

“Arwah Tokchek meninggal dunia pada jam 5.30 petang semalam di rumah anaknya di Kampung Tanjung Buluh, Kerambit di Lipis akibat tua.

“Polis Lipis menziarah keluarga arwah Tokchek dan menyampaikan sumbangan peribadi kepada waris Chik sebagai tanda ingatan serta mengenang jasa arwah sepanjang hayatnya.

”Sebagai penghormatan terakhir kami bersama keluarga arwah sehingga selesai urusan pengkebumian pada malam tadi,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Azli berkata, arwah yang pernah menyertai pasukan Special Constable sehingga 1 Julai 1959 selepas pengganas komunis meletak senjata menghabiskan sisa hidupnya di Kampung Kerambit, Lipis.

Menurutnya, home guard merupakan sebuah pertubuhan sukarelawan yang ditubuhkan oleh British pada 1950 di Persekutuan Tanah Melayu.

Kali terakhir Arifin berkhidmat di Balai Polis Meranti, Pasir Mas, Kelantan sebelum pulang ke Lipis.

Semasa berkhidmat sebagai home guard, beliau pernah bertempur dengan komunis di Daerah Weng, Sungai Golok dan pasukannya menembak mati seorang dan mencederakan musuh selain menjaga keselamatan kampung termasuk membuat sekatan jalan raya.

Ketika bertugas anggota dibekalkan dengan senapang patah Johnson atau dikenali sebagai senapang cap burung hantu untuk mengawal dan menembak pengganas.

Pada umurnya 18  tahun, Tokchek melihat pendaratan tentera Jepun di Kota Bharu dan pernah bertempur dengan tentera Jepun. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Homeguard tertua di Malaysia jadi keluarga angkat IPD Lipis

Polis Pahang bina rumah bekas pejuang zaman komunis