Mohd Shuhaily Mohd Zain

KUALA LUMPUR – Polis Bukit Aman mengesan taktik baharu penjenayah dalam kes penipuan yang mengarahkan sasarannya supaya berpura-pura menjadi mangsa penculikan dan meminta wang tebusan daripada keluarga.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, ada satu kes di mana seorang remaja berusia 18 tahun menjadi mangsa penipuan hingga memaksa dia membuat transaksi sehingga RM283,000.

Beliau berkata, remaja berkenaan dihubungi seorang individu yang mengaku dirinya seorang pegawai polis kononnya dia mempunyai bungkusan dipercayai mengandungi sejumlah dadah di atas namanya.

“Dia diminta untuk membantu siasatan kemudian kes itu diserahkan kepada seorang lagi pegawai polis kononnya pegawai atasan dan di sini bermulanya transaksi duit.

“Dia mula memindahkan duit kepada beberapa akaun bermula pada 30 September lalu. Walaupun mangsa berusia 18 tahun tapi dia mampu untuk membayarnya.

“Pada hari sama, 30 September, dia memindahkan RM80,000 kepada dua akaun bank. Kemudian transaksi kedua pada 1 Oktober pula jumlah sama iaitu RM80,000.

“Pada 2 Oktober, dia memindahkan jumlah sama iaitu RM80,000 kepada akaun bank manakala pada 3 Oktober, dia memindahkan sebanyak RM43,000.

“Jumlah keseluruhan remaja 18 tahun itu telah pindahkan berjumlah RM283,000,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Tambah Mohd Shuhaily apabila remaja terbabit tidak lagi mempunyai wang, dia diarahkan untuk melarikan diri dan menyembunyikan diri di sebuah inap desa di Shah Alam.

“Malangnya remaja ini mengikut arahan penjenayah dan diarah untuk menghubungi ibu dia dengan mengatakan dirinya diculik.

“Ibu bapa remaja ini cuba menghubungi anak lelakinya itu beberapa kali dan selepas itu tidak dapat dihubungi.

“Akhirnya pihak ibu bapa datang dan membuat laporan polis kemudian kita telah mula menyiasat dan cuba mengesan remaja terbabit,” katanya.

Mohd Shuhaily berkata, apabila polis mengesan dan menyelamatkan remaja terbabit pada 5 Oktober lalu,pihaknya mendapati tiada elemen-elemen penculikan.

“Dia dalam keadaan ketakutan yang teramat sangat, kita selamatkan remaja ini dan hantar balik kepada keluarganya, kita cuba siasat lanjut.

“Remaja ini sangat baik dan tidak mempunyai kenalan-kenalan atau cara hidup yang mewah dan sebagainya,” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan apabila penjenayah mula melakukan penipuan, mereka juga mendapati keluarga remaja terbabit mampu untuk memberikan duit selepas mangsa kehabisan duit di dalam akaunnya.

“Mereka tahu ada orang lain mampu untuk beri jumlah wang itu,” katanya.

Hasil siasatan kemudiannya berjaya menahan seorang lelaki Cina dan seorang lelaki Melayu masing-masing berusia 34 dan 24 tahun.

“Individu pertama itu (lelaki Cina) ditahan selepas mengeluarkan duit yang telah dimasukkan ke akaun bank terbabit di Pulau Pinang pada 6 Oktober lalu.

“Kita tahan dia dan daripada maklumat lelaki Cina ini, kita berjaya mendapatkan seorang lagi suspek di mana akaun itu milik lelaki Melayu itu cuma mereka ini tidak pernah berjumpa antara satu sama lain.

“Lelaki Cina yang mengeluarkan duit terbabit memaklumkan kami dia melakukan jenayah itu beberapa tempoh dan bayaran agak lumayan.

“Ini adalah sesuatu baharu kepada kami, bagaimana seorang individu bukan sahaja ditipu bahkan membenarkan dirinya ditipu sekali lagi dan mengikut arahan penipu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast