LONDON – Spekulasi mengenai masa depan penjaga gol lagenda Manchester United, David de Gea menjadi hangat apabila dia dikatakan telah kembali ke Manchester berdasarkan perkongsian gambar di Instagram rasmi miliknya baru-baru ini.
Perkongsian tersebut menarik minat peminat yang mendesak United supaya menandatangani semula pemain kelahiran Sepanyol itu, dengan majoriti peminat membuat spekulasi bahawa kepulangan De Gea ke Old Trafford sedang dalam proses untuk direalisasikan.
Bagaimanapun, laporan daripada koresponden Michael Pavitt memetik, De Gea kembali ke UK pada hari Isnin lalu dan menghabiskan masa selama beberapa hari untuk mengemas rumah yang didiami selama 12 tahun di Hale.
“Sejak kontrak di United tamat, dia telah pun tinggal bersama isteri, Edurne Garcia dan anak perempuan mereka yang berusia dua setengah tahun di Madrid. Pasangan itu telah berkahwin di Menorca pada musim panas yang lalu,” katanya menerusi Facebook Buletin Manchester United.
Laporan itu turut mendakwa bahawa De Gea masih belum membuat sebarang keputusan mengenai karier bola sepaknya.
“De Gea yang akan berusia 33 tahun bulan depan bersikap santai dengan masa depannya kerana dia mahu menikmati masa bersama keluarga dan tidak tergesa-gesa mencari kelab baru.
“Itu mungkin akan berubah pada bulan Januari 2024 tetapi selepas menghabiskan empat tahun terakhir di Old Trafford dengan meraih pendapatan sebanyak £375,000 seminggu, dia tentu sahaja boleh berlengah-lengah dan tenang memikirkan masa depannya,” tambah laporan itu.
Selain mengemas rumah, De Gea dilaporkan turut meluang masa untuk hadir ke Leigh Sport Village bagi menonton perlawanan Liga Juara-Juara Wanita UEFA antara United dan Paris Saint-Germain pagi tadi. – Agensi