NV. Subbarow

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyifatkan penangguhan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 sebagai satu pengkhianatan dan pelanggaran hak pengguna.

Pegawai Pendidikan CAP, NV Subbarow berkata, penangguhan itu juga ibarat mempertaruhkan masa depan anak muda negara demi kepentingan individu tertentu.

Jelas beliau, pihaknya sudah lama berjuang dalam menegakkan hak pengguna di negara ini, termasuklah isu bahaya rokok elektronik atau vape.

“Apabila kerajaan membuat keputusan bagi menangguhkan pembentangan RUU, CAP berasa sangat terkilan dan merasakan ia adalah satu pengkhianatan terhadap rakyat oleh pihak kerajaan.

“Apakah alasan kerajaan untuk menangguhkan RUU ini? Jika isu seperti kekurangan bekalan beras tempatan, cuaca jerebu dan lain-lain dijadikan punca penangguhan RUU, amatlah tidak logik kerana semua itu sepatutnya boleh ditangani secara serentak oleh Kerajaan Madani yang cekap dalam pentadbirannya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, ahli Parlimen juga tidak boleh memberi alasan bagi tidak menyokong RUU berkenaan.

“Semakin kita lambatkan kelulusan RUU ini semakin ramai anak muda terjebak dengan gejala vape.

“Segerakan pembentangan RUU ini, usahlah khianati kepercayaan yang diberi rakyat kepada kerajaan.

“Jadilah penyelamat kepada generasi akan datang dengan memastikan masa hadapan mereka terbela dengan adanya peruntukan Generasi Penamat Rokok,” katanya.

Mengulas lanjut Subbarow berkata, rakyat juga berhak mendapatkan perlindungan daripada sebarang bentuk kemudaratan, dan dalam kes ini, ia adalah perlindungan daripada bahaya produk merokok.

“Kalau lihat kini lambakan produk vape di pasaran yang mana penjualannya dilakukan secara bebas di pasaran terbuka tanpa kawalan dan undang-undang.

“Akibatnya, lebih ramai golongan muda terjebak dengan aktiviti merokok dan jika dibiarkan berleluasa, tidak mustahil aktiviti penyalahgunaan dadah boleh menular menerusi peranti vape yang digunakan,” jelas beliau. 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast