Padang yang baru ditukar kepada jenis rumput Zeon Zoysia pada Majlis Perasmian Padang Stadium Nasional, Kuala Lumpur Sports City di Bukit Jalil. Foto AFFAN FAUZI, 12 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Perbadanan stadium di setiap negeri perlu mempunyai kemudahan untuk menyelenggara padang sekiranya mahu menukar rumput stadium mereka kepada jenis Zeon Zoysia.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, ketika ini perbadanan stadium negeri-negeri yang ditawarkan rumput berkenaan mahu melihat dahulu bagaimana cara penyelengaraan rumput tersebut dilakukan.

Ini kerana katanya, mereka bimbang tidak mampu untuk menanggung kos penyelenggaraan yang tinggi sekiranya bersetuju menerima tawaran yang diberi oleh kerajaan Persekutuan itu.

“Tawaran yang kita berikan kepada semua negeri, mereka mahu melihat dahulu status dan kos penyelengaraan.

“Seperti sedia maklum, bukan hanya rumput itu tetapi mereka kena ada sistem naik taraf saliran serta kena ada mesin untuk menyeleggara rumput baharu,” katanya pada sidang media selepas lawatan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hannah berkata, negeri-negeri yang ingin mendapatkan rumput tersebut perlu menyediakan sekurang-kurang RM4.7 juta setahun sebagai kos operasi.

Ujarnya, setiap stadium mempunyai masalahnya sendiri dan disebabkan itu mereka mahu melihat terlebih dahulu bagaimana rumput daripada jenis berkenaan dijaga oleh pengurusan stadium bUkit Jalil.

Sebelum ini, Kementerian Belia dan Sukan berhasrat untuk melihat semua stadium di Malaysia menggunakan rumput yang lebih berkualiti.

Bagi tujuan itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedia menawarkan geran kepada kerajaan negeri untuk menukar rumput stadium mereka kepada jenis Zeon Zoysia.

Menerusi laporan Hannah dipetik berkata, tawaran geran untuk penukaran rumput itu dibuat ketika mesyuarat pertama KBS bersama exco setiap negeri dan kini pihaknya sedang menunggu maklum balas setiap wakil negeri yang dijangka disampaikan dalam mesyuarat kedua akan datang.

Setiap negeri perlu memilih satu stadium bagi projek menaik taraf padang itu dan mereka perlu menjalankan penyelenggaraan awal sebelum pihaknya meluluskan peruntukan tersebut. – MalaysiaGazette