Ketua Pembangkang merangkap Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin hadir pada Mesyuarat Khas Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 12 SEPTEMBER 2023

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) mendakwa Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid telah diugut dan berlaku intimidasi terhadap beliau.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, dakwaan itu dibuat bagi mendapat sokongan agar kerajaan Madani kembali memperoleh sokongan dua pertiga majoriti di Parlimen.

“Pada 1 Oktober 2023, Ahli Parlimen Kuala Kangsar dibawa untuk bertemu dengan seorang pegawai tertinggi SPRM di sebuah hotel di Damansara dan diugut akan didakwa atas kesalahan rasuah sekiranya enggan menandatangani kenyataan media yang telah pun disediakan lebih awal untuk menyokong Kerajaan.

“Sebelum itu, pada 26 September 2023, Ahli Parlimen Kuala Kangsar juga telah didatangi seorang taikun perniagaan bergelar Tan Sri yang dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri di sebuah lokasi sekitar Damansara,” dakwa Hamzah dalam satu kenyataan, hari ini.

Dakwa Hamzah lagi, ini adalah satu langkah penyalahgunaan kuasa bagi melakukan intimidasi serta ugutan terhadap pemimpin pembangkang.

Semalam media melaporkan Iskandar Dzulkarnain memutuskan untuk menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.

“Dalan kenyataan sama, Hamzah berkata, Iskandar Dzulkarnain telah ditekan dan didesak untuk menyokong perdana menteri serta dijanjikan habuan wang ringgit dan kedudukan dalam beberapa syarikat.

Dalam pertemuan bersama Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ahli Parlimen Kuala Kangsar juga kelihatan amat tertekan akibat intimidasi yang dikenakan terhadap beliau.

“Perikatan Nasional pada masa yang sama kesal di atas kenyataan media yang dibuat secara terburu-buru oleh Ahli Parlimen Kuala Kangsar. Kenyataan beliau dengan  menggunakan hujah peruntukan pembangunan sebagai alasan amat berbeda dengan penjelasan yang diberikan kepada beberapa pemimpin parti,” kata Hamzah lagi.

PN kata Hamzah, akan turut memanggil Iskandar Dzulkarnain untuk mendapatkan penjelasan sebelum mengambil tindakan selanjutnya oleh Mesyuarat Biro Politik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pilihan Raya Umum ke-15 pada November tahun lepas menyaksikan Iskandar Dzulkarnian menang kerusi Parlimen Kuala Kangsar dengan mendapat 14,380 undi mengatasi calon Barisan Nasional (BN) Datuk Maslin Sham Razman yang menerima 10,814 undi dan Dr Ahmad Termizi Ramli daripada Pakatan Harapan (10,356 undi) serta calon GTA Dr Yusmalia Mohamad Yusof (204 undi). – MalaysiaGazette