Tan Sri Razarudin Husain

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan masyarakat agar berwaspada dan menyemak kesahihan wakil yang menguruskan kutipan sumbangan untuk solidariti rakyat Palestin.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, nasihat itu bertujuan untuk mengelakkan rakyat Malaysia daripada menjadi mangsa penipuan pihak tertentu yang menyalahgunakan konflik di Palestin untuk keuntungan.

“Dalam perkara ini, masyarakat perlu lebih berwaspada mengelak daripada terjerat dengan tindakan tidak bertanggungjawab mana-mana pihak yang cuba mengaut keuntungan dengan mengambil kesempatan menggunakan nama solidariti rakyat Palastin.

“Polis ingin menasihati semua lapisan masyarakat supaya menyemak kesahihan wakil yang menguruskan sumbangan terlebih dahulu serta mengambil langkah teliti bagi  mengelak menjadi mangsa scammer.

“PDRM melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) akan meningkatkan tahap pemantauan dalam hal ini dan mengambil tindakan tegas jika terdapat pihak dikesan cuba mengambil kesempatan,” katanya dalam satu kenyataan di Bukit Aman tengah hari tadi.

Tambah beliau, PDRM juga pada masa sama menasihatkan warga Malaysia supaya tidak membuat sebarang pergerakan ke kawasan konflik atas faktor keselamatan.

Katanya, pPolis juga sedang memantau rapi aspek ini dan telah menggerakkan semua elemen-elemen berkaitan khususnya cawangan khas dalam memastikan tiada penglibatan rakyat Malaysia sehingga mewujudkan risiko keselamatan diri di Gaza.

“Dalam pada itu, pihak polis juga menggesa rakyat Malaysia untuk menggunakan saluran dan medium yang aman sejahtera dalam menyuarakan solidariti kepada rakyat Palestin yang ditindas rejim Israel.

“Iringan doa dan sokongan moral rakyat Malaysia merupakan solidariti terbaik kepada rakyat Palestin yang ditindas.

“Polis akan mengambil segala langkah-langkah yang patut untuk memastikan tiada mana-mana pihak yang mengambil kesempatan atas belas ehsan rakyat Malaysia serta memastikan keselamatan rakyat kita dalam usaha memberikan sokongan kepada rakyat Palestin,” tegas Razarudin lagi.-MalaysiaGazette