KUALA LUMPUR – Ketika membentangkan Belanjawan 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Awnar Ibrahim jelas mahu menghilangkan rasa mengantuk semua 222 ahli Parlimen dengan memetik falsafah Cina dan India.
Falsafah itu walaupun hanya menggunakan empat perkataan ternyata mencuri tumpuan dalam pembentangan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.
Malah penggunaan empat perkataan daripada Menteri Kewangan itu turut mendapat tepukan daripada beberapa ahli-ahli Parlimen.
“Filsafah Cina Mengzi telah merumuskan empat perkara asasi sebagai tonggak kekuatan (iaitu) ren, yi, zhi dan li, maknanya menekankan aspek insaniah (ren), ihsan (yi), hikmah (zhi) dan adat (li).
“Inilah yang dikatakan kekuatan dalaman yang ditekankan awal tadi. Reformasi demi menamatkan penderitaan rakyat, membasmi amalan rasuah yang sistemik, mengurangkan karenah birokrasi bagi menyegerakan projek rakyat serta membangun tatanan politik yang stabil,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.
Kata-kata itu perhatian ramai ahli Parlimen yang khusyuk mendengar perbentangan bajet Malaysia Madani kedua untuk tahun 2024.
Secara ringkasnya, Ahli Parlimen Tambun itu menyebut empat perkataan, merujuk kepada empat perkara asasi sebagai tonggak kekuatan Kerajaan Perpaduan.
Tidak cukup dengan falsafah Cina, Anwar turut menyentuh falsafah dari Bahasa Tamil.
Kata-kata itu dizahirkan Anwar itu diperoleh sebagaimana dalam Thirukkural dan ia berkaitan menggunakan kekayaan dengan cara berfaedah.
“Iyatralum Eettalum Kaatthalum Kaattha Vaguthalum Vallathu Arasu.
“Orang yang berkebolehan untuk memajukan (kekayaan daripada pelbagai sumber pendapatan), menghimpunkan (kekayaan daripada pendapatan itu di suatu pusat), melindungi (kekayaan yang terhimpun itu), dan menguruskan perbelanjaan kekayaan yang terlindung itu (dengan cara-cara yang berfaedah), ialah Raja,” katanya lagi. – MalaysiaGazette