KUALA LUMPUR – Ekonomi diunjur berkembang antara 4.0 hingga 5.o peratus tahun depan dipacu oleh sektor perkhidmatan.
Sektor ini pula akan disokong oleh kumpulan perkhidmatan perantara dan akhir yang dijangka terus meningkat didorong oleh perbelanjaan domestik yang mampan dan pemulihan aktiviti eksport.
Segmen perdagangan runcit, penginapan dan restoran serta telekomunikasi diunjur berkembang selaras dengan peningkatan trend penggunaan manakala segmen perdagangan borong serta subsektor pengangkutan dan penyimpanan akan menerima manfaat daripada aktiviti berkaitan perdagangan yang tinggi, menurut Laporan Tinjauan Ekonomi 2024.
Sektor pembuatan dijangka berkembang pesat disokong oleh industri berorientasikan eksport yang ditambah baik terutama produk elektrik dan elektronik susulan permintaan luar yang semakin pulih.
Sementara itu, industri berorientasikan domestik diunjur kekal mengalakkan sejajar dengan prestasi pelaburan dan penggunaan domestik yang kukuh.
Sektor pembinaan dijangka meningkat disumbangkan oleh pengembangan merentasi semua subsektor.
Prospek subsektor pertanian kekal positif disokong oleh pengeluaran yang lebih tinggi bagi minyak sawit mentah, pertanian lain dan ternakan.
Sektor perlombongan pula dijangka kembali meningkat berikutan pemulihan dalam pengeluaran gas asli dan minyak mentah dan kondesat.
Dari sudut permintaan, pertumbuhan akan disokong oleh perbelanjaan swasta yang kukuh serta permintaan global yang semakin pulih.
Pemulihan permintaan luar dijangka dapat melonjakkan prestasi eksport seterusnya meningkatkan lebihan dagangan, yang disokong oleh pendapatan eksport daripada akaun barangan yang akan mengimbangi aliran keluar bersih daripada akaun pengangkuitan dan akaun perkhidmatan lain.
Sehubungan itu, akaun semasa dijangka mencatat lebihan sebanyak RM62.2 bilion atau 3.2 peratus daripada pendapatan negara kasar (PNK). – MalaysiaGazette