Gambar hiasan

KUANTAN – Masalah jalan berlubang di Taman Perumahan Balok Permai di sini semakin membimbangkan kira-kira 3,000 penduduk yang menggunakan laluan utama tersebut.

Bukan sahaja orang dewasa malah kanak-kanak yang berbasikal ke sekolah berhampiran turut terdedah kepada bahaya terjunam kedalam lubang berkeluasan kira-kira dua meter persegi.

Berkongsi detik-detik nyaris kemalangan di lokasi, Suhana Ismail, 49, berkata, motosikal ditunggangnya hampir bertembung dengan sebuah kereta dari arah bertentangan kerana cuba mengelak lubang.

Suhana Ismail

“Ada sekali itu, memang pengalaman saya sendiri nyaris bertembung dengan kereta dari arah bertentangan masa kebetulan nak hantar anak ke sekolah, jadi setiap kali saya akan rasa risau bila tahu anak akan guna laluan ni untuk ke sekolah.

“Sebab kalau pagi-pagi memang sibuk di sini sebab ramai nak hantar anak ke sekolah. Disebabkan lubang ni, jalan jadi makin sempit,” katanya ketika ditemui hari ini.

Ketika tinjauan ke lokasi juga mendapati keadaan lubang di laluan utama kawasan perumahan itu berkedalaman kira-kira 0.3 meter dan meliputi kedua-dua hala jalan tersebut.

Menurut Zaidah Samsuddin, 62, pula, permasalahan yang dihadapi mereka sejak enam bulan lalu itu akan menjadi lebih buruk jika berlaku hujan.

“Kalau hari hujan, lagi ketara bila lopak tu penuh dengan air. Kadang-kadang kenderaan yang lalu tak perasan, memang terjunam dalam lubang itu,” jelasnya.

Lebih buruk, katanya, jika ia berlaku boleh menyebabkan tayar kenderaan pancit dan menimbulkan kerosakan kepada kenderaan mereka.

Justeru, dia mahu pihak yang berkaitan agar mengambil tanggungjawab dan mengambus semula lubang di jalan tersebut selain menurap semula seperti sedia kala.

Ketika ditanya punca jalan itu dalam keadaan begitu, Pengerusi KRT, Ahmad Sufian Abdul Razak mendedahkan pernah terjadi kebocoran paip air bawah tanah yang menyebabkan kerja-kerja pembaikan terpaksa dilakukan.

“Sepatutnya, seminggu selepas dikorek, kontraktor kena kambusmatau turap semula jalan ini supaya ia rata tapi selepas hampir enam bulan, lubang ini tidak dikambus dan diturap.

“Jadi, memang bahaya dan tidak selamat untuk penduduk di sini, lebih-lebih lagi kanak-kanak yang berbasikal. Sebab ini merupakan laluan utama untuk ke sekolah,” kata Ahmad Sufian.

Ahmad Sufian Abdul Razak

Dia turut mendedahkan terdapat tiga kes aduan penduduk yang jatuh di sini yang diterimanya dalam tempoh enam bulan ini.

Ahmad Sufian juga telah berusaha membuat aduan kepada pihak berkaitan namun tiada sebarang tindakan yang diambil pihak terbabit.

“Jadi, kita minta agar pihak yang terlibat dapat datang dan baiki semula atau turap semula jalan yang telah dikorek ini untuk kemudahan dan keselamatan masyarakat setempat.

“Untuk sementara ni, kalau betul tak sempat sangat, datang lah juga untuk letak tanda amaran untuk keselamatan supaya penduduk nampak,” tambahnya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast