Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong membawa keluar beg yang mengandungi dokumen Belanjawan 2024 Malaysia Madani untuk menuju ke Bangunan Parlimen di Kementerian Kewangan, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM,13 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR- Jumlah perbelanjaan diunjur berkurang kepada RM393.8 bilion atau 19.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) disebabkan terutamanya oleh komitmen kewangan yang lebih rendah berikutan tiada penebusan bon 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2024 melaporkan, peruntukan perbelanjaan operasi (OE) dijangka mencatat sebanyak RM303.8 bilion atau 15.4 peratus daripada KDNK.

Manakala peruntukan perbelanjaan pembangunan (DE) adalah sebanyak RM90 bilion atau 4.5 peratus.

Menurut laporan itu, kerajaan dijangka melaksanakan program rasionalisasi subsidi yang mana sebahagian penjimatan itu akan disalurkan untuk menambah baik program jaringan keselamatan sosial.

Secara keseluruhan, kerajaan menjangkakan paras defisit fiskal terus menurun kepada 4.3 peratus daripada KDNK dan kekal pada landasan konsolidasi selari dengan jangkaan hasil yang lebih tinggi dan perbelanjaan yang rendah.

Dalam pada itu, kutipan hasil kerajaan Persekutuan pada 2024 dianggar terus meningkat kepada RM307.6 bilion atau 15.6 peratus daripada KDNK didorong oleh kutipan yang lebih tinggi.

Katanya, hasil cukai terus menjadi penyumbang utama dan dijangka meningkat sebanyak 6.4 peratus kepada RM243.6 bilion berikutan pengembangan aktiviti ekonomi, peningkatan keuntungan syarikat dan penambahbaikan guna tenaga.

Sementara itu, hasil bukan cukai diunjur berkurang kepada RM64 bilion terutamanya disebabkan oleh dividen yang lebih rendah daripada Petronas.

Ini mencerminkan pengurangan kebergantungan kerajaan kepada hasil berkaitan petroleum.

Tambahan pula, beberapa langkah akan dilaksanakan termasuk pengenalan cukai keuntungan modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat dan pelaksanaan e-invois.- MalaysiaGazette