Kira-kira 300 peserta memegang sepanduk sempena perhimpunan aman dan penyerahan memorandum bantahan serangan bersenjata Israel terhadap Gaza di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya. Foto QURRATU AINI, 13 OKTOBER 2023.

PUTRAJAYA – Tindakan memboikot barangan yang dikaitkan dengan Israel setiap kali Palestin diserang tidak memberi kesan kepada rejim zionis itu diusir keluar dari bumi Gaza.

Jurucakap Hizbut Tahrir, Abdul Hakim Othman berkata, usaha itu hanya sia-sia kerana ia hanya melibatkan rakyat dan bukan pemerintah di negara ini.

“Kita lihat pemerintah tidak memboikot segala produk yang datang dari entiti haram Yahudi. Kalau boikot berjaya sekali pun kita kata tetap penjajah Yahudi tidak keluar dari bumi Palestin.

“Kita mahu penjajah Yahudi laknatullah itu keluar dari bumi Palestin, caranya pemangsa itu perlu dilenyap,” katanya kepada MalaysiaGazette di luar pekarangan bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Terdahulu Abdul Hakim bersama wakil Hizbut Tahrir menyerahkan memorandum bantahan serangan bersenjata ke atas Gaza di pejabat Perdana Menteri.

Sebelum itu, Abdul Hakim bersama kira-kira 300 peserta Himpunan Aman Palestin berkumpul di pekarangan Masjid Putra sebelum berarak ke bangunan Perdana Putra.

Ratusan peserta yang berhimpun memegang sepanduk dan plakad tertera pelbagai mesej menyatakan solidariti ke atas umat Islam di Palestin.

Antaranya ‘Palestin Tanah yang Diberkati, Bebaskan dengan Jihad dan khilafah’ dan ‘Wahai Angkatan Tentera Malaysia, Tanah Palestin Sedang Memanggil Kalian’.

Dalam pada itu, tindakan boikot yang dilakukan di negara ini sebenarnya tidak memberi kesan kepada Israel.

“Kita telah banyak kali boikot bukan sekali dua, setiap kali Gaza Palestin diserang, kita boikot, tiada masalah dengan perkara itu. Masalah Palestin tidak pernah selesai,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast