KUALA LUMPUR – Hasil siasatan awal yang dijalankan polis terhadap seorang pegawai kanan polis yang didakwa memiliki gaya hidup mewah dengan mempunyai dua jam tangan Rolex mendapati barangan tersebut dibeli dengan menggunakan duit pemberian oleh ibu dan mendiang bapanya.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Azri Ahmad berkata, bagaimanapun phaknya akan meneruskan siasatan daripada pelbagai sudut dalam kes yang membabitkan pegawai kanan polis tersebut.
Kenyataan tersebut dikeluarkan berikutan gesaan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng yang meminta polis memberi penjelasan bagaimana seorang pegawai kanan polis mampu memiliki jam tangan berjenama mewah yang bernilai ratusan ribu ringgit.
Pemimpin DAP itu mengeluarkan kenyataan itu selepas seorang isteri pegawai polis didakwa di mahkamah majistret di Ipoh baru-baru ini atas tuduhan mencuri dua utas jam tangan mewah jenama Rolex milik suaminya, tiga tahun lalu.
Jam tangan model Sky Dweller dianggarkan bernilai RM207,000 manakala bagi GMT Master-II 9 ialah RM198,000. – MalaysiaGazette